Tuesday, April 9, 2013

Souq di Villa 16 penawar Marina


MARINA beranggapan Souq di Villa 16, Petaling Jaya merupakan medan bagi kaum hawa berbangga dengan produk keluaran mereka.


SEPANJANG bazar Souq di Villa dibuka pada 16 Mac lalu, Marina Mustafa kelihatan sibuk di bahagian patio rumah milik arwah ibu mertuanya itu. Beliau bertungkus-lumus memasak hidangan ala Barat untuk santapan para pengunjung dan peniaga di rumah itu.
Pengunjung-pengunjung yang hadir ke bazar tidak putus-putus berbual dan bertanya khabar. Ketika itu, senyum di bibirnya sentiasa terukir walaupun sibuk.
Beliau turut dibantu oleh sahabatnya, Annette Isaac, 38, dan empat orang anaknya di ruang patio itu.
"Daripada raut wajah dan senyuman ibu, saya lihat dia begitu gembira sepanjang hari ini," ujar anak sulung Marina, Aziff Azuddin, 23, ketika ditemui Kosmo! di bazar itu pada 16 Mac lalu.
Menurut Aziff, walaupun ibunya menghidap kanser tiroid, itu tidak menjadi halangan utama dalam penganjuran bazar yang rata-ratanya dihadiri oleh kaum wanita.
"Ini cara ibu saya menunjukkan kecintaannya terhadap keluarga dan rakan-rakan. Saya sentiasa menyokong ibu," tambah penuntut semester akhir dalam jurusan Kewartawanan, Ijazah Sarjana Muda, Fakulti Komunikasi dan Media di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Hidap kanser
Mengimbau kenangan pada tahun 1997, cerita Marina, ketika itu beliau disahkan menghidap kanser tiroid. Pada awalnya anak jati Muar, Johor itu sangat tertekan sehingga setiap kali menunaikan solat, dia pasti akan membaca surah Yasin.
Dalam pada itu, beliau berjanji dengan Allah SWT sekiranya diberi sedikit masa untuk hidup, dia pasti akan menjadi hamba dan manusia yang lebih baik di samping dapat memberi manfaat kepada orang lain.
Dugaan yang dihadapinya semakin bertambah apabila disahkan pula menghidap kanser paru-paru. Ekoran daripada penyakit yang dihidapinya itu, beliau terpaksa menutup perniagaan restoran Kafe Dania di Petaling Jaya setelah 14 tahun mengusahakannya.
"Alhamdulilah, walaupun sudah 16 tahun bergelumang dengan dua penyakit kanser, saya rasa diri semakin sihat," ujarnya yang mengamalkan minum air serai dan kunyit yang mampu membunuh sel kanser.
Marina yang terkenal dengan program masakan di saluran Astro Awani, Dari Dapur Marina tiga tahun lalu, kini masih dalam rawatan radiasi untuk mengubati penyakitnya itu.
Tutur Marina, idea suaminya, Azuddin Abdul Rahman, 55, untuk menganjurkan Souq di Villa 16 turut disokong oleh anak-anak kerana mampu memeriahkan kembali rumah allahyarham ibu mertuanya.
"Souq di Villa 16 ini merupakan cara saya untuk berkongsi minat bersama rakan-rakan. Pada awalnya, saya hanya menjemput lima peniaga yang terdiri daripada rakan-rakan terdekat. Dengan bantuan mereka menerusi laman Facebook, ramai orang luar tertarik untuk turut sama berniaga di sini untuk edisi ketiga.

TIGA buku masakan hasil nukilan Marina yang telah menjengah pasaran sejak tiga tahun lalu.


"Selain perniagaan, saya juga mahu merapatkan silaturrahim antara pengunjung dan peniaga dalam suasana santai seperti di rumahnya sendiri," ujarnya yang mengenakan bayaran sebanyak RM80 kepada setiap peniaga yang membuka gerai di bazar itu.
Minatnya terhadap bidang masakan tidak mungkin terhenti walaupun tidak lagi mengendalikan restoran. Cara beliau berkongsi resipi bersama orang ramai ialah dengan menulis buku masakan.
Antara buku yang telah menjengah pasaran bermula dengan terbitan buku Memorable Recipes for Malay Occasion empat tahun lalu. Kemudian disusuli dengan Hidangan Sunnah dan Nostalgia bersama Marina Mustafa.
"Dalam tempoh rawatan kanser, keluarga saya memberi dorongan untuk melakukan perkara yang saya suka. Sejak itu, saya mengambil keputusan untuk menulis buku masakan.
"Pada saya buku Memorable Recipes for Malay Occasion merupakan buku yang penuh bermakna untuk saya. Ia merupakan himpunan resipi untuk majlis-majlis masyarakat Melayu seperti akikah, cukur jambul, pertunangan, perkahwinan dan majlis tahlil," ujarnya yang masih mempunyai 20 tumor kecil di dalam paru-parunya.
Banglo yang terletak di Seksyen 16, Petaling Jaya itu turut dijadikan sebagai tempat untuk dia mengajar wanita memasak melalui program Villa Home Cooking.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: