Sunday, April 14, 2013

Sindiket gagal seludup keluar 17 warga Iraq


ANGGOTA polis marin memeriksa dokumen warga Iraq yang cuba diseludup keluar dari negara ini di Pelabuhan Klang kelmarin.


PELABUHAN KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 17 warga Iraq termasuk empat kanak-kanak perempuan ke Indonesia selepas menahan dua buah bot pancung di Sungai Chondong, Pelabuhan Barat di sini kelmarin.
Kedua-dua bot tidak bernombor itu ditahan pada pukul 9.30 malam hasil maklumat awam dan risikan pihak berkuasa.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM, Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, semasa bot terbabit dihampiri pasukannya, dua tekong warga Indonesia bertindak terjun ke laut tetapi seorang daripada mereka yang berusia 42 tahun berjaya diberkas manakala seorang lagi menghilangkan diri di kawasan paya bakau berhampiran.
"Kami menemui 12 lelaki, seorang wanita dan empat kanak-kanak perempuan warga Iraq berumur antara sembilan hingga 50 tahun di dalam bot berkenaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Norzaid memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua warga asing terbabit memasuki negara ini secara sah sebulan lalu dan mahu ke negara ketiga melalui Indonesia dengan menjadikan Malaysia sebagai transit.
Katanya, warga asing tersebut dipercayai membayar RM700 hingga RM900 seorang kepada sindiket berkenaan. Kes itu disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (Pindaan 2010).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: