Shazroul
Shazroul
BIARPUN namanya tidaklah segah penyanyi popular lain, namun siapa sangka sebenarnya penyanyi berbakat ini pernah mengharumkan nama negara dengan menempatkan diri sebagai naib johan dalam pertandingan Asian Televisyen Melody Festival di Chi Minh City, Vietnam tahun lalu.

Mula menjinakkan diri dalam bidang nyanyian sejak 2006 dengan menyertai uji bakat pertandingan realiti Akademi Fantasia (AF) musim ke empat, Shazroul Fazlie, 28, tidak pernah putus harapan memperjuangkan bakat yang dimilikinya.

Menurut Shazroul, atas dasar minat dan mahu menyambung legasi neneknya yang suatu ketika dahulu pernah turut serta dalam bidang yang sama, dia optimis meneruskan impiannya bergelar penyanyi yang disegani.

"Selepas keluar dari AF, saya masih teruskan minat dalam bidang nyanyian dengan mengambil kelas vokal bersama penyanyi Hazami.
"Selepas itu pada tahun 2009, saya telah menghasilkan album penuh berjudul Cuma yang mengandungi sembilan lagu. Tapi sambutan yang saya terima tidak begitu baik," ujarnya kepada Zass.

Walaupun begitu, ia bukanlah alasan buat Shazroul untuk berputus asa malah menganggap perkara itu sebagai pembakar semangat buat dirinya untuk terus berusaha dengan lebih keras.

"Saya akui melibatkan diri dalam bidang nyanyian bukanlah semudah yang dibayangkan. Tapi saya tidak akan berhenti mencuba kerana saya percaya satu hari nanti, bakat saya akan dilihat dan diterima baik oleh masyarakat.
"Selagi termampu, saya akan lakukan yang terbaik untuk teruskan minat saya dalam bidang ini," katanya.

Punya identiti tersendiri

Setiap penyanyi pasti memiliki target mahupun fokus yang tersendiri begitu juga dengan anak jati Kuala Lumpur ini yang mahu mencari identitinya yang tersendiri.

"Saya mahu orang mengenali saya dengan bakat yang tersendiri. Saya tidak mahu di samakan dengan mana-mana penyanyi lain.
"Selain mencari identiti, saya juga mahu mencari material yang berkualiti yang mampu memberi impak yang positif terhadap karier nyanyian saya.
"Kalau diberi peluang, saya berhasrat untuk menyanyikan lagu-lagu hasil sentuhan komposer terkenal seperti Ajai dan Edry Abdul Halim kerana karya mereka senang didengar," katanya.

Bertanyakan mengenai persaingan yang wujud dalam industri nyanyian kini, Shazroul akui dirinya tidak mahu terlalu memikirkan soal itu.

"Kalau mahu cerita mengenai persaingan memang ia wujud, tapi saya tidak mahu memikirkannya. Lebih baik saya fikirkan arah tuju karier saya.

"Setiap penyanyi yang ada dalam industri ini memiliki kelebihan masing-masing termasuklah diri saya sendiri oleh itu, saya perlu menggunakan bakat yang telah dikurniakan ini dengan sebaik mungkin," jelasnya.

'Pencuri Hati'

Bertanyakan mengenai perkembangan karier nyanyiannya, Shazroul memberitahu dia kini sedang sibuk mempromosikan single terbarunya berjudul 'Pencuri Hati'.

Menurut Shazroul 'Pencuri Hati' adalah merupakan lagu duet dan ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Jejaka Melaya', Adzrin Azhar.
"Kami mula berkenalan pada satu majlis rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri pada 2011. Dari situlah Adzrin mula memberi tawaran untuk berduet dengannya.

"Lagu ini mengisahkan tentang seorang perempuan yang mengharapkan dirinya diterima lelaki pilihan dan lama-lama lelaki itu mula memahami hasratnya.
"Alhamdulillah, sambutan yang kami terima untuk single ini amatlah menggalakkan. Lagu ini juga sudah kerap dimainkan di corong-corong radio," katanya.