Friday, April 12, 2013

Seri Pacific raikan kanak-kanak istimewa


PELAJAR istimewa dari SK Kampung Nyior di Dungun, Terengganu gembira dan terhibur dengan majlis makan malam yang dianjurkan oleh Hotel Seri Pacific.


HOTEL Seri Pacific Kuala Lumpur baru-baru ini menyambut kehadiran 18 kanak-kanak istimewa dari sekolah kebajikan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Nyior, Paka, Dungun, Terengganu.
Merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat hotel, pihak pengurusan yang terlibat mahu menyediakan satu pengalaman makan malam di hotel lima bintang kepada kanak-kanak yang hadir bersama ibu bapa dan guru-guru.
Selain dihidangkan makanan seperti ayam madu panggang, daging gulai kawah, ikan merah asam manis dan sup ayam berempah, kanak-kanak yang berusia antara lima hingga 16 tahun itu juga diraikan dengan persembahan tarian, silap mata dan hiburan.
Kanak-kanak tersebut yang dalam satu lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur kelihatan teruja dan seronok dengan sesi makan malam yang disediakan oleh pihak Hotel Seri Pacific.
“Kami sangat berpuas hati dan gembira apabila dapat memberi layanan istimewa kepada mereka,” kata Pengarah Pemasaran dan Jualan, Zakariya Muda.
Bagi wakil guru, Faridah Zainal, 34 pula, keistimewaan dan peluang yang diberikan kepada kanak-kanak tersebut dilihat sebagai satu pendedahan sihat di samping memberikan pelbagai pengalaman yang sangat bermakna.
“Saya suka KLCC dan mahu datang lagi pada masa hadapan,” kata seorang kanak-kanak, Lee Jia Wen, 16.
Suraya Omar, 35, ibu kepada Sufaizal Fauzi, 10, berharap agar keseronokan seperti itu diteruskan lagi pada masa hadapan khususnya kepada kanak-kanak istimewa seperti anaknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: