Halim dan Adibah
Halim dan Adibah
Semakin serasi, Halim dan Adibah bawa kelainan
Adibah dan Halim bersama penyampai dan orang kuat Suria FM.
Hampir dua bulan bersatu di konti stesen radio Suria FM menerusi slot Ceria Pagi, kedua-dua pengacara popular ini mengakui mereka perlu lebih kreatif menjadi penyampai radio demi memuaskan hati pendengar stesen radio itu.

Meskipun, rata-rata stesen radio sedia ada mengetengahkan aspek komedi bagi pendengar mereka, namun berbeza pula dengan empunya nama Halim Othman dan Adibah Noor ini.

Kata mereka, walaupun segelintir stesen radio selesa menyajikan komedi bagi halwa telinga pendengar, namun bagi dua figura ini apa yang di keudarakan perlu mempunyai isi.

"Kami akui gandingan ini amat menjadi dan serasi, sementelah lagi kami mempunyai misi sama iaitu membawa kelainan kepada pendengar.

"Kelainan yang dimaksudkan pula adalah dari sudut menyampaikan sesuatu tajuk atau bahan yang diperkatakan dalam sesebuah segmen itu," kata mereka yang mengendalikan segmen itu setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 5 hingga 10 pagi.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Halim memberitahu, dia berharap gandingannya bersama Adibah berbeza dari mana-mana gandingan penyampai radio yang sedia ada di Malaysia.

"Saya mahu menyajikan satu program radio yang tidak terlalu berat kepada pendengar. Menariknya, dengan adanya Adibah, setiap hari kami cuba merealisasikan perkara itu.

“Pelbagai formula baru kami cari dan kaji supaya segmen yang dikendalikan ini berilmu, santai dan tidak terlalu serius," katanya.

Bagi Adibah pula, mengendalikan segmen Ceria Pagi itu merupakan satu cabaran besar kepadanya.

"Saya tidak mahu segmen ini sekadar borak kosong semata-mata. Sama seperti Halim, biarlah ia penuh pengisian yang berguna kepada pendengar Suria FM," kata pelakon filem Sepet ini.

Dalam pada itu, Halim dan Adibah turut menjadi perhatian umum selepas digandingkan bersama menerusi slot Ceria Pagi ini.

Sehingga timbulnya persoalan adakah mereka tidak kisah jika jodoh mereka bukan sekadar di konti. Menjawab kenyataan itu, baik Halim mahupun Adibah tidak melatah, sebaliknya menganggap ia sebagai satu gurauan.

"Perkara begini memang akan timbul tanpa boleh diduga sesiapa pun, namun setakat ini hubungan kami berlandaskan profesional. Buat masa sekarang biarlah kami memahami satu sama lain atas dasar kerja semata," kata mereka gembira kerana peminat memberi respons positif terhadap gandingan ini.

Halim puji Adibah

Tidak hanya berbicara mengenai kisah mereka di konti, Halim turut berkongsi pendapat tentang gaya kerja Adibah sepanjang bekerja bersamanya.

Menurut Halim, dia sebenarnya terkejut kerana prestasi pelantun lagu Kau Terlalu Istimewa itu di luar dugaan.

"Dia begitu senang menyerap perkara baru dengan cepat dan ini telah memudahkan kerjasama antara kami apabila bersiaran," katanya.

Tambah Halim, selain itu, Adibah juga, pandai menyesuaikan diri dengannya dan tidak pernah memberikan sebarang masalah sewaktu bertugas.

“Saya sangat seronok bersamanya ketika di studio lebih-lebih lagi kami punyai keserasian yang kuat bersama.

“Bagi saya, jika seseorang yang tidak pernah menjadi deejay seperti Adibah, mereka memerlukan masa yang lama untuk sebati dan mendalami pekerjaan ini, namun bukan dia," katanya Adibah seorang yang pantas dalam semua aspek.

Tidak wujud diskriminasi

Selain bergelar penyampai radio, mengacara dan berlakon, menyanyi juga merupakan profesion Adibah, diaju pertanyaan mengenai wujudnya diskriminasi lagunya selepas ini tidak diputarkan di stesen radio lain, akui Adibah, dia tidak kisah memandangkan sebelum ini lagunya memang jarang dimainkan di mana-mana stesen radio sedia ada.

"Sama ada saya bersama Suria FM atau tidak, ia tidak menjadi masalah. Lagipun, sejak dari dahulu lagi, lagu saya memang jarang diputarkan di radio lain.

"Saya memang pernah memikirkan tentang perkara ini dan saya rasa ia tidak membawa kepada sebarang perbezaan," katanya.

Cerita Adibah lagi, pandangan segelintir individu yang menganggap penyampai radio boleh memainkan lagu mengikut kehendak mereka juga adalah tidak benar.

"Keputusan untuk memainkan sesebuah lagu itu dilakukan oleh orang atasan dan kini saya sendiri semakin faham sistem putaran lagu di radio,” katanya.

Bertemu insan seni versatil ini, pastinya tidak lengkap tanpa mengetahui perkembangan terbarunya, ditanya mengenai perkara itu, kata Adibah, dia kini sedang giat menjalani latihan bagi Teater Muzikal Chow Kit Road yang akan dipersembahkan di Istana Budaya (IB), Mei nanti.

“Selain sibuk dengan teater, saya juga masih aktif dalam bidang nyanyian. Sementelah saya sentiasa mencari masa yang sesuai untuk menyiapkan album terbaru, bagaimanapun, buat masa sekarang saya lebih selesa melancarkan single demi single, kemudian barulah dikumpulkan menjadi album," katanya masih memberikan fokus kepada bidang lakonan dan pengacaraan.