Selena Gomez
Gomez kembali tawan dunia.
SELENA Gomez! Nama yang cukup popular di Hollywood. Bukan saja menerusi karier seninya, bahkan kisah cintanya bersama penyanyi terkenal, Justin Bieber turut menjadi perhatian.

Meskipun hubungan cinta mereka sudah berakhir, namun ia seakan masih 'berhantu' buatnya. Mana tidaknya, sehingga hari ini dia masih belum mampu membuang nama Bieber dari hidupnya.

Setiap kali berdepan dengan media, Gomez sentiasa diasak mengenai bekas kekasihnya itu yang dikatakan masih menaruh hati kepadanya.

Pernah memberi beberapa peluang kepada pelantun Baby itu, bagi Gomez, tiada lagi tempat buat Bieber yang sering berkelakuan curang terhadapnya.

Menurut Gomez, dia tidak akan kembali lagi ke pangkuan Bieber, malah pintu hatinya sudah tertutup rapat.

"Ini keputusan terbaik. Tidak mungkin kami bersama lagi," katanya.

Selain pernah didakwa memiliki anak bersama seorang remaja wanita di California, Bieber juga pernah dikatakan menjalinkan hubungan bersama model pakaian, Barbara Palvin.

Malah kedua-dua kontroversi hebat ini turut menjadi punca keretakan hubungannya dengan Gomez.


Menang Kids Choice Award

Nekad mahu melupakan sejarah cintanya bersama Bieber, Gomez kini semakin rancak mengatur karier seninya. Ternyata, nasib menyebelahinya apabila diiktiraf Favorite TV Actres menerusi Kids Choice Award, baru-baru ini.

Mengakui teruja dengan kejayaannya kali ini, Gomez berharap dia dapat melakukan yang terbaik sama ada dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.

"Ia sangat hebat. Ia betul-betul berlaku dan terima kasih kepada peminat menyokong kerjaya saya selama ini," kata Gomez.

Anak kelahiran Grand Prairie, Texas itu memulakan kerjayanya sebagai pelakon dalam rancangan kanak-kanak Barney & Friends sejak kecil lagi.

Dari usia yang sangat muda, Gomez mula mengatur langkah dalam kerjayanya sehingga memegang beberapa watak utama dalam filem seperti Another Cinderella Story, Wizards of Waverly Place: The Movie dan Princess Protection Program.

Selain itu, Gomez turut menandatangani kontrak bersama Hollywood Records, dengan menubuhkan kumpulan pop, Selena Gomez & The Scene.

Mereka kemudiannya mengeluarkan beberapa album, Kiss & Tell (2009), A Year Without Rain (2010) dan When The Sun Goes Down (2011).

Antara lagu yang mendapat rating tertinggi adalah Naturally, Who Says dan Love You Like A Love Song.


Inspirasi dari Taylor Swift

Musim panas tahun ini, Gomez akan melancarkan album solo dan single pertama, Come & Get It, sekali gus bakal mengubat rindu peminatnya.

Malah bintang Monte Carlo turut mendedahkan kawan karibnya, Taylor Swift, turut mempengaruhinya untuk mengeluarkan album terbaru.

"Taylor inspirasi saya, bukan sahaja dalam muzik, tetapi segala-galanya.

"Dia merupakan sahabat yang menakjubkan untuk saya," kata Gomez.

Hubungan antara kedua-dua seleberiti itu juga kelihatan semakin rapat. Mereka sering menghabiskan masa bersama sekiranya punya masa terluang.

Ternyata, perpisahan Gomez dengan  Justin Bieber tidak menghalangnya  meneruskan karier bahkan seakan membuka lembaran baru buat dia yang kini semakin semangat membina karier.