Sunday, April 7, 2013

Saya tidak cukup hebat - Remy Ishak

REMY ISHAK undur diri daripada M.Butterfly atas alasan yang cukup peribadi.


TINDAKAN artis menarik daripada pementasan teater, drama atau filem sebenarnya bukan sesuatu yang pelik. Ia kerap berlaku dan contoh paling dekat hal itu dapat dilihat dengan jelas dalam industri kreatif tanah air. Jika bukan kerana jadual yang bertembung dengan komitmen lain, punca masalah boleh datang akibat salah faham atau bayaran.
Terbaharu, pelakon popular Remy Ishak, 31, menimbulkan masalah kepada pihak produksi kerana menarik diri dalam tempoh tidak sampai dua minggu sebelum pementasan teater M. Butterfly yang dijadualkan bermula 11 April nanti.
Bukan sahaja melibat kerugian ribuan ringgit, tindakan Remy itu menyusahkan pihak penerbitan teater berkenaan bahkan boleh dikecam sebagai tidak profesional.
"Alasan Remy dia dilarang oleh pihak pengurusannya agar terbabit dalam produksi M. Butterfly atas alasan seksual dan politik.
"Saya katakan kepada pihak pengurusan Remy jika unsur-unsur itu melampau masakan produksi itu mendapat kerjasama dan geran pengurangan kos produksi daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), tapi Remy tetap dengan keputusannya," jelas Faisal Mustaffa dari Rumah Anak Teater (RAT) selaku penerbit teater berkenaan.
Pementasan teater oleh RAT Production itu juga menjadi sebahagian daripada MAP Festival yang berlangsung 23 Mac hingga 21 April di Publika.
"Kami kena memaklumkan keadaan sebenar tentang pertukaran pelakon kepada penonton yang telah membuat tempahan tiket.
"Ada penonton yang membeli tiket semata-mata untuk melihat lakonan Remy dan meminta wang mereka dikembalikan. Setakat ini produksi sudah membuat pembayaran balik sekitar RM6,000 kepada pembeli yang membatalkan hasrat mereka untuk menonton M. Butterfly," jelas Faisal yang mengakui kecewa terkilan dengan etika Remy.
Teater M. Butterfly dijadualkan dipentaskan selama empat hari bermula 11 April ini bertempat di Blackbox, Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Drama yang diilhamkan oleh opera Madama Butterfly oleh Giacomo Puccini itu memaparkan watak utama, Rene Gallimard yang merupakan seorang kakitangan awam dihantar untuk bekerja di kedutaan Perancis di China.
Gallimard jatuh cinta dengan diva opera China, Song Liling, yang sebenarnya seorang lelaki tetapi dia menyamar sebagai seorang wanita.
Remy sepatutnya memainkan watak Rene Gallimard, selepas menarik diri, peranan yang dimainkan oleh Remy kini dipikul oleh Benjy.
"Tempoh untuk Benjy melakukan latihan memang agak singkat tetapi saya yakin, Benjy akan melakukan tugas itu sebaik mungkin. Lagi pun, Benjy sendiri pernah menonton teater dan filem M. Butterfly di luar negara sebelum ini," tambah Faisal lagi.
Pementasan M. Butterfly karya asal David Henry Hwang ini akan diarahkan oleh pelakon serta aktivis teater Mislina Mustaffa.
"Remy sendiri tidak menandatangani sebarang kontrak tapi dia sendiri sudah melalui proses publisiti untuk teater ini.
"Apa yang boleh saya katakan, saya terkilan kerana sebelum ini Remy sendiri yang menyuarakan hasratnya untuk terlibat dalam teater M. Butterfly," kata Faisal.
Lama berfikir untuk memberikan sebarang kenyataan, Remy yang dihubungi Sensasi Bintang bagaimanapun meminta maaf kepada peminat kerana telah mengecewakan hasratnya beraksi di pentas M. Butterfly yang terkenal itu. Remy mengakui dia terpaksa menarik diri walaupun sedar ia keputusan berlaku pada saat akhir.
"Pementasan itu sangat menarik, skrip dan konsepnya sangat bagus namun sebelum ini saya tidak pernah berbincang secara terperinci tentang konsep dan jalan cerita bersama pengarah (Mislina). Selepas bersemuka dengan Mislina baru-baru ini, saya agak terkejut dengan perubahan besar yang dilakukan ke atas teks itu.
"Jadi langkah terbaik yang boleh saya lakukan ialah menarik diri. Saya takut cerita yang bagus itu akan hancur disebabkan persembahan saya yang tidak seberapa ini," luah Remy merungkaikan situasinya.
Tidak mahu mengulas panjang agar tidak mengeruhkan keadaan, Remy yakin bahawa tanpa penyertaan dirinya teater M. Butterfly itu akan menempa kejayaan tersendiri.
"Saya mengharapkan yang terbaik untuk produksi teater berkenaan," katanya menutup perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: