Sunday, April 14, 2013

Resort latih individu berkuda


TETAMU dapat bermesra dengan kuda di Teratak Nalys.


NAMANYA sudah cukup untuk menggambarkan betapa uniknya Batang Kali yang terletak di Selangor ini.
Ibarat pekan transit, ia menjadi alternatif pengguna jalan raya yang ingin ke pusat peranginan Genting Highlands.
Namun, tarikan utamanya kini ialah sebuah ladang sayur yang menghasilkan sehingga 50 tan metrik sayur-sayuran setiap hari.
Berdasarkan kajian Jabatan Pertanian Selangor, sawi ditanam di kawasan ini merupakan yang terbaik di negara ini berikutan kualiti tumbesarannya yang disokong tanah subur.
Sayur-sayuran seperti kangkung, timun, bayam dan kacang panjang pasti membuatkan pengguna berasa teruja untuk membelinya kerana saiz dan tahap kesegarannya.
Namun sayur bukanlah satu-satunya tarikan yang ditawarkan di Batang Kali.
Teratak Nalys Eco Resort & Equestrian yang terletak di Jalan Hulu Tamu, Kampung Orang Asli menjanjikan pengalaman yang berbeza.
Pengunjung bukan sahaja dapat bermesra dengan kuda yang jinak bahkan landskap alam semula jadi yang belum tersentuh oleh arus pembangunan.
Tetamu turut dapat mandi-manda di sungai, bermain-main dengan arnab yang comel, mengejar ayam kampung dan mendengar bunyi bising kambing tatkala hujan turun.

ITIK yang boleh dipilih sendiri menjadi menu makanan anda sepanjang menginap.


Kuda jinak
Minggu ini, kru Jurnal berkunjung ke Teratak Nalys. Kedatangan kami disambut mesra pemiliknya yang berasal dari Arau, Perlis, Datuk Shuhaini Shafie.
Selesa mengenakan baju-T berkolar dan seluar jean, lelaki ini membawa kami menjengah ladang kuda miliknya yang terletak di resort itu.
Terdapat 14 jenis kuda antaranya jenis Arab, Through Breed dan Warm Blood yang kebanyakannya diimport dari Poland.
Kata Shuhaini, pengunjung boleh menunggang kuda dengan kadar bayaran yang berpatutan malah berpeluang mengikuti kursus intensif berkaitan mamalia itu.
“Ramai yang menganggap kuda jinak dan mesra tetapi sebenarnya ia agresif. Ia kelihatan jinak kerana haiwan ini telah dilatih untuk tujuan rekreasi dan riadah.
“Haiwan ini lebih sesuai untuk tujuan perlumbaan dan jelajah hutan.
“Kami memperkenalkan kursus mengenai kuda bermula daripada penjagaannya, jenis ladang, rumput yang dimakan sehingga cara menunggang yang betul,” cerita Shuhaini.
Tambahnya, ramai yang masih tidak mengetahui tabiat sebenar kuda. Haiwan ini dapat mengenali pemiliknya berdasarkan bau dan suara.
“Kuda mengenali penjaganya walaupun jarak antara kedua-duanya jauh. Tetapi, saya sendiri yang telah 10 tahun bergelumang dengan kuda masih terjatuh apabila menunggang kuda kerana sifatnya yang agresif.
“Cara menunggang kuda juga perlu dalam posisi yang betul selain mengikut pergerakan badannya.
“Ramai orang mengatakan mereka yang sering menunggang kuda sombong kerana posisi badannya menegak dan seakan-akan mendada tetapi itu sebenarnya kaedah menunggang yang betul,” ujarnya.
Shuhaini juga menerangkan bahawa sukan berkuda bukan semata-mata untuk golongan kaya.
Jelasnya, itu hanya mitos tetapi mengakui kos penjagaan kuda termasuk makanan agak mahal.
Harga seekor kuda ialah antara RM4,000 hingga RM100,000.
Terangnya, walaupun kuda bersaiz besar tetapi amat sensitif dan mudah terkejut.
“Walaupun ayam terbang berhampiran sekali pun, kuda akan terkejut dan menyebabkan penunggangnya terjatuh,” kata Shuhaini sambil tersenyum.
Kursus itu mengambil masa sehari dengan bayaran RM500.
Tarikan tersendiri pastinya kuda bernama Nalys yang baharu sahaja lahir pada 1 Mei tahun lepas.
Bagi seorang penjaga kuda, Nik Azlan Sulung yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, dia telah bekerja selama lebih setahun di resort itu.
Nik Azlan bersyukur kerana pelbagai insentif disediakan majikan kepadanya termasuk kemudahan rumah dan makanan.
“Selain itu, saya dapat mempelajari ilmu tentang kuda,” ujarnya.
Terdapat tiga buah ladang kuda bersaiz kecil, sederhana dan besar untuk kemudahan pelanggan.

ARNAB comel yang dibawa pulang pasti menggembirakan tetamu resort terutamanya kanak-kanak.


Ternakan
Bukan itu sahaja tarikan yang terdapat di Teratak Nalys. Konsep resort berdasarkan penternakan dan pertanian yang dipraktikkan membolehkan tetamu memilih sendiri haiwan sebagai menu makanan.
“Mereka boleh memilih haiwan ternakan seperti ayam kampung dan itik di ladang untuk dimasak oleh pihak kami.
“Kebiasaannya kambing akan dimasak barbeku, ayam atau itik pula dimasak rendang atau kari. Terpulanglah kepada cita rasa sendiri,” terang Shuhaini.
Setiap haiwan akan disembelih oleh pekerja mengikut syarat-syarat sembelihan Islam.
Menurut seorang pekerja yang hanya ingin dikenali sebagai Salus, dia teruja melihat gelagat pengunjung terutamanya kanak-kanak yang datang melawat kandang haiwan tersebut.
“Kebanyakan pelanggan berasa pelik kerana mereka jarang menemui resort yang mempunyai ternakan sebegini.
“Pelanggan khususnya kanak-kanak dapat mengejar haiwan-haiwan ini sama seperti suasana di kampung,” katanya.
Menurut Shuhaini, pengunjung juga boleh membawa pulang arnab secara percuma.
“Tetapi kambing tidak boleh diambil percuma kerana kosnya mahal,” katanya.
Harga bagi seekor kambing yang siap dimasak sekitar RM800 manakala bagi ayam kampung seekor RM12 dan itik RM15 tidak termasuk kos masakan.
Telur asin juga diberikan secara percuma. Tambah Shuhaini, tetamu resort juga boleh memberikan makanan seperti kangkung kepada arnab.
“Pengunjung juga dapat mempelajari cara penyembelihan ayam, membuang bulunya dan memasak haiwan itu seperti di kampung,” katanya.
Bukan itu sahaja, pengunjung dapat menggunakan semua tanaman yang ditanam untuk dimasak seperti kangkung, pucuk ubi kayu dan limau.
Paling mengujakan, petai, lengkuas dan jering yang ditanam sekitar resort sedia untuk dimakan.
“Terdapat kolam ikan yang mempunyai pelbagai ikan seperti patin, kerapu dan tilapia. Pelanggan hanya memancing ikan dan boleh dimasak mengikut selera masing-masing,” jelas Shuhaini.
Resort ini menerima rombongan berskala besar dan harga termasuk penginapan bermula daripada RM50 hingga RM1,000 termasuk makanan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: