Thursday, April 18, 2013

Rangsangan goncang haram

SALAH sebuah video Harlem Shake yang popular di internet.


HARLEM SHAKE atau diistilahkan sebagai Goncang Haram adalah sebuah rakaman video sekumpulan individu dalam sesuatu situasi dirangsang secara provokasi oleh seorang individu lain untuk menari selama 30 saat.
Tarian tersebut merupakan video internet berdurasi 30 saat yang memerlukan penari menggoyangkan bahu, pinggang dan tangan dengan pantas mengikut rentak lagu The Harlem Shake oleh DJ Baauer.
Ia akan dimulakan oleh seorang penari dan kemudian diikuti oleh penari-penari lain yang akan memakai pelbagai kostum pelik dengan gerakan tarian yang pelbagai.
Jika Gangnam Style menceritakan perbezaan taraf kehidupan di sebuah kawasan bernama Gangnam di Seoul, Korea Selatan, Harlem Shake juga dikaitkan dengan kosmologi sebuah tempat bernama Harlem di Manhattan, Amerika Syarikat.
Harlem merupakan sebuah kawasan kejiranan besar di daerah utara New York dan bandar kecil itu terletak di Manhattan. Sejak tahun 1990, Harlem terkenal sebagai penempatan yang dimonopoli oleh orang Afrika.
Tarian Harlem Shake pertama kali dicipta oleh lima orang remaja dari dari Queensland, Australia yang menggelarkan diri mereka sebagai The Sunny Coast Shake yang telah memuat naik video mereka di YouTube pada 2 Februari lalu.
Meme
Berbanding tarian lain yang pernah mencipta gelombang sebelum ini, Harlem Shake mereka ledakan sendiri apabila orang ramai mula merakam dan memuat naik versi tarian berbeza-beza. Fenomena tersebut disifatkan meme.
Perkataan 'meme' dipetik daripada bahasa Greek bermaksud sesebuah idea, perangai atau gaya yang tersebar daripada seorang demi seorang dalam satu kelompok budaya sama ada turun-temurun (ibu bapa kepada anak) atau pengambilalihan (media, rakan).
Internet meme pula diertikan sebagai satu konsep atau tatacara dalam versi video (Harlem Shake) yang merebak daripada satu individu kepada individu lain menerusi medium perantara internet.
Dengan bantuan jaringan sosial, blog dan tapak perkongsian video, sesebuah meme boleh merebak dengan pantas selepas sejam atau pada hari video itu dikeluarkan.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh YouTube, dalam tempoh sembilan hari pertama video Harlem Shake dimuat naik, sebanyak 12,000 versi video Harlem Shake mengisi ruang rangkaian sosial itu dan telah mengumpul 44 juta penonton.
Data itu tidak termasuk 4,000 buah video secara purata telah dimuat naik pada setiap hari dan angka itu bertambah setiap masa.
YouTube memperakui pertambahan trend rakaman video tersebut dan peningkatan rekod carian video itu di internet mengatasi beberapa carian yang pernah popular sebelum ini.

DJ Baauer berjaya mencipta fenomena menerusi lagu Harlem Shake.


Sementara itu, lagu yang dihasilkan oleh DJ Baauer berjudul The Harlem Shake turut merasakan impak menerusi populariti tarian Harlem Shake.
Lagu tersebut telah dikeluarkan pada bulan Ogos 2012 namun, semenjak Harlem Shake mula melanda rangkaian sosial pada bulan Februari lalu, lagu itu berjaya mengungguli carta iTunes dan menduduki tangga teratas Billboard Hot 100 selama beberapa minggu berturut-turut.
Pembabitan syarikat gergasi umpamanya Matt & Kim, Pepsi, Redbull, Nintendo dan Puma menarik lebih ramai penonton untuk merakamkan aksi Harlem Shake dalam versi tersendiri.
Antara video Harlem Shake yang popular di internet membabitkan golongan ahli sukan, pelajar, pasukan tentera dan tidak terkecuali golongan selebriti.
Menurut fakta, Harlem Shake hanya mengambil separuh daripada tempoh video Gangnam Style mencecah jumlah penonton sebanyak 1 bilion. Pada 4 April lalu, video Harlem Shake berjaya mendapat hit sebanyak 1.2 bilion di YouTube.
Eksplisit
Bagaimanapun, tidak semua video Harlem Shake yang dipaparkan di YouTube menghiburkan dan bersih daripada aksi-aksi kurang senonoh.
Ada juga antara video yang dimuat naik mempertontonkan hasil yang disifatkan keterlaluan, lucah, menyampaikan makna tersirat dan diklasifikasikan eksplisit.
Salah seorang selebriti tempatan yang terkena tempias Harlem Shake, Daphne Iking berdepan dengan kritikan pedas daripada sesetengah pihak yang kurang senang dengan tindakannya melakukan tarian itu.
Mengulas mengenai video itu, kata Daphne rakaman yang sekadar percubaan perakam video baharu itu hanya untuk tujuan hiburan.
"Niat kami sekeluarga adalah untuk kebaikan dan tidak terniat langsung untuk melakukan aksi yang tidak sopan. Video itu sekadar suka-suka memandangkan kami sekeluarga memang gila-gila.
"Saya faham sekiranya ada sesetengah pihak yang tidak liberal dan melihat saya mempermainkan agama. Niat saya betul tapi orang nampak lain," katanya.
Video Harlem Shake Daphne bersama suami, dua orang anak dan seorang pembantu rumahnya itu dimuat naik pada 19 Februari lalu dan kini telah ditonton lebih 200,000 kali.
Daphne turut memuat naik sebuah lagi video tarian Harlem Shake yang dirakamkan selepas rancangan bual bicara Bella bersama kru produksi rancangan itu.

TIDAK sah tarian Harlem Shake tanpa pakaian pelik dan warna-warni.


Tabu
Sementara itu, menurut seorang penyelidik di Taylor Nelson Sofres Research International, Rahat Raj Sud, tarian Harlem Shake secara tidak langsung telah memberikan kuasa kepada seseorang untuk bertindak di luar kesedaran diri.
"Harlem Shake sebenarnya memberikan ruang kepada individu untuk hilang pertimbangan dan tanpa segan-silu memaparkan sisi liar dalam diri masing-masing, disokong pula oleh individu sekeliling dengan matlamat untuk mengumpulkan sebanyak mungkin penonton," ujarnya yang melihat kegilaan itu belum cukup kuat merebak di negaranya, India.
Kenyataan itu disokong oleh seorang pekerja sosial, Namrata Sinha yang melihat fenomena Harlem Shake bersifat sia-sia dan hanya mahu mencari kemasyhuran selama 30 saat.
"Terang-terang dapat dilihat tiada keaslian dalam pergerakan tari itu, semoga trend Harlem Shake akan reda tidak lama lagi.
"Adalah menyedihkan untuk melihat budaya begitu dibangga-banggakan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita," katanya menerusi sebuah laporan antarabangsa.
Protes
Kefungsian Harlem Shake bukan hanya tertumpu untuk berhibur semata-mata malah, tarian tersebut pernah digunakan oleh beberapa pihak untuk meluahkan ketidakpuasan hati secara demonstrasi atau protes.
Menurut Associated Press, sebanyak 400 orang lelaki melakukan Harlem Shake sambil melaung-laungkan protes terhadap pelantikan Presiden Mesir, Mohamed Morsi di luar pejabat Muslim Brotherhood di Dataran Tahrir, Kaherah pada awal bulan Februari lalu.
Kesan daripada kejadian itu, dua orang penuntut jurusan farmasi di sebuah universiti terkemuka di sana ditahan kerana melanggar etika dengan menari Harlem Shake hanya memakai seluar dalam.
Protes turut dilakukan oleh sekumpulan pelombong bawah tanah di Australia yang telah memuat naik video mereka melakukan tarian Harlem Shake di tempat kerja setelah mereka diberhentikan kerja.
Sejauh mana dan berapa lamakah meme itu mampu bertahan sebelum pudar, keputusan itu bergantung pada ketetapan diri setiap individu untuk membawa aliran yang tepat kepada generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: