Maznah
Maznah gigih menjadikan Danau Lumayan sebagai pemaju tersohor.
Memiliki kediaman yang mampu milik, selesa dan mendamaikan di kawasan bandar menjadi idaman setiap warga kota di mana-mana negara.

Untuk memenuhi cita rasa pengguna, pemaju hartanah, Danau Lumayan tampil untuk membangunkan tanah seluas 41.3 hektar di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur sejak Jun 2000.

Pengerusi Danau Lumayan Sdn Bhd (DLSB), Datuk Dr Maznah Hamid berkata, sehingga kini, Danau Lumayan telah menyiapkan lebih 3,000 unit kediaman apartmen, kondominium dan pembangunan komersial.

Menurutnya, DSLB mempunyai rekod baik dan terbukti menyiapkan dan menyerahkan kesemua unit iaitu 6 bulan lebih awal daripada tarikh penyerahan projek, bersama Sijil Layak Menduduki (CF).

“Ini secara langsung dapat mewujudkan kepercayaan dan keyakinan pihak pembeli yang kebanyakannya terdiri daripada pembeli projek Danau Lumayan sebelum ini.

“Kami menggunakan bahan binaan dan kemasan dalaman berkualiti tinggi, yang setaraf dengan kemasan projek bertaraf tinggi juga eksklusif,” ujar anak kelahiran Kedah ini.
Perkembangan projek di sekitar Bandar Tun Razak mendapat sambutan tinggi dan positif daripada pembeli. Ini disebabkan lokasi yang strategik dan potensi nilai hartanah yang semakin meningkat di kawasan tersebut kerana jaraknya hanya 5km dari KLCC.


Sasar jualan RM560 juta

Untuk perancangan tahun ini, DLSB melaksanakan beberapa pembangunan berkonsepkan komersial yang dijangkakan akan memulakan pembinaan pada suku ketiga 2013, iaitu Lot 8 dan juga Lake Avenue.

Pada Ogos 2012, DLSB telah melancarkan projek Kondominium Suasana sebanyak 900 unit dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM280 juta. Pada tahun ini, DLSB akan melancarkan pula 350 unit kediaman dan komersil dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM160 juta.

“Pada tahun hadapan, kami begitu optimis untuk melancarkan projek pembangunan bercampur yang merangkumi servis apartmen, hotel, rumah kedai dengan GDV RM400 juta”, tambah beliau dengan penuh yakin.

Beliau menambah, DLSB memiliki kepakaran projek pembangunan serta pembinaan. Tenaga kerja terdiri daripada kalangan mereka yang arif dalam bidang pembinaan dan ini memudahkan perancangan jangka panjang syarikat.

Ditanya mengenai cabaran syarikat dalam menawarkan perkhidmatannya, Maznah berkata, sejak kebelakangan ini harga tanah di sekitar Lembah Klang telah meningkat dengan mendadak.

“Begitu juga dengan kenaikan harga bahan binaan. Ini secara langsung akan memberi kesan kepada kenaikan harga hartanah terutamanya di sekitar bandar besar seperti di Lembah Klang.

“Namun begitu pihak syarikat sedaya upaya cuba agar harga pembangunan dikekalkan rendah serta mampu dimiliki ramai. Usaha sama dengan pihak DBKL dilihat sebagai strategi yang baik dalam usaha syarikat mencapai aspirasi tersebut,” ujarnya yang juga penulis buku Motivasi Memburu Kejayaan: 3K.


Kejayaan Securiforce

Maznah yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce berkongsi pengalamannya dalam membangunkan syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan terbesar di negara.

Securiforce yang beroperasi sejak 1981, menawarkan pakej keselamatan yang lengkap dengan menampilkan konsep ‘total security’.

Antara jenis perkhidmatan keselamatan seperti pengawal statik, pengawal bersenjata, transit tunai, logistik, pengurusan kargo berteknologi tinggi dan perkhidmatan keselamatan elektronik.

Wanita Besi ini berkata, Securiforce kini mempunyai 65 cawangan di negara ini dan 6,500 kakitangan. Securiforce kini melebarkan sayap perniagaan ke peringkat antarabangsa dengan menubuhkan Securiforce Logistik (ejen penghantaran darat, laut dan udara). Perkhidmatan syarikat tersebut telah berkembang ke rantau Asia, Eropah dan Timur Tengah. Cawangan Securiforce Logistik dibuka di Singapura, Bangkok, China, Korea, Turki dan Jerman.

Hasil usaha berterusan syarikat, pihak Danau Lumayan kini sedang dipertimbangkan untuk sama-sama membangunkan projek perumahan mampu milik yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Keupayaan Danau Lumayan bukan sahaja dilihat setanding, malah lebih baik daripada sebahagian pemaju tersohor yang wujud di negara ini, terutama di dalam projek perumahan mampu milik.

Harapan Danau Lumayan di masa hadapan adalah untuk membangunkan sebuah bandar baru berteknologi tinggi di pinggiran Kuala Lumpur atau mana-mana bandar besar di dalam negara ini.

Hasrat ini boleh dicapai sekiranya suatu kerjasama erat dapat diadakan bersama pihak kerajaan pusat mahupun negeri dalam membentuk projek pembangunan secara usaha sama. Perancangan ini adalah berbentuk jangka panjang dan usaha ke arah tersebut sedang giat dilaksanakan.