Thursday, April 11, 2013

Rakyat Malaysia mengundi 5 Mei


ABDUL AZIZ (kiri) dan Wan Ahmad bergambar sebelum memulakan Mesyuarat Khas SPR di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ditetapkan pada 20 April ini, manakala hari pengundian pada 5 Mei.
Pengumuman itu bermakna tempoh berkempen pada pilihan raya umum kali ini adalah selama 15 hari, lebih panjang berbanding 13 hari sewaktu PRU-12 tahun 2008.
Bagi kaedah pengundian awal melibatkan petugas-petugas media, anggota keselamatan dan pengundi yang berada di luar negara, tarikh untuk mereka mengundi ditetapkan pada 30 April.
Pengundian awal mula diperkenalkan pada PRU-13 bagi menggantikan undi pos.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, tarikh 20 April dan 5 Mei dipilih ekoran ramalan cuaca baik di seluruh negara pada kedua-dua hari tersebut selain tiada sebarang hari perayaan.
“Kita sama-sama berdoa ramalan cuaca yang positif itu menjadi realiti pada dua tarikh penting itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR di sini semalam.
Mesyuarat tersebut bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Ahli panel Mesyuarat Khas SPR lain yang hadir ialah Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar; Datuk Mohammad Ramji Alli; Datuk Dr. P. Manogran; Datuk Christopher Wan Soo Kee; Datuk Md. Yusop Mansor dan Abdul Aziz Khalidin.
Sebelum Dewan Rakyat dibubarkan pada 3 April lalu, komposisi Dewan Rakyat menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, selebihnya DAP (29), Pas (23), PKR (23), Parti Maju Sabah (SAPP) (dua) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempunyai satu kerusi.
Lapan lagi kerusi disandang ahli Parlimen Bebas.
Abdul Aziz menjelaskan, SPR menetapkan tempoh berkempen lebih panjang iaitu selama 15 hari bagi memberi peluang kepada jentera kempen parti-parti politik untuk membuat persediaan serta manfaat untuk pengundi membuat keputusan sebelum memilih calon mereka.
Katanya, SPR juga bertekad menjadikan pilihan raya umum ini yang terbaik dalam sejarah.
Katanya, bagi kelancaran operasi, SPR memperuntukkan RM400 juta untuk mengendalikan PRU-13 dengan melibatkan 234,905 petugas pilihan raya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: