Friday, April 19, 2013

Plaza Tugu destinasi seni

BEBERAPA penari membuat persembahan mengikut rentak muzik yang didendang.


SETIAP hujung minggu aksi sekumpulan penggiat seni membuat persembahan di Plaza Tugu, Tugu Negara, Kuala Lumpur, pasti mendapat tumpuan pengunjung.
Mereka bermain alat muzik dan menari tarian gelek tribal. Tidak ketinggalan pelatih seni aliran poi dan copoiera turut memeriahkan persembahan tersebut.
Pertemuan itu berlaku pada setiap hari Ahad antara pukul 5.30 petang hingga 8.30 malam. Mereka melakukannya secara sukarela dan mengisi masa lapang. “Kami mula sejak tahun 2002 dengan bermain alat muzik. Pada masa sama, kami turut mengajak penonton untuk turut serta,” kata Paul Lau Thee Doo, 53.
Pada peringkat awal, kumpulan tersebut hanya dianggotai pemain alat genderang dan drum. Tunjuk ajar diberikan oleh pemuzik terkenal iaitu Lewis Pragasam yang pernah membuat persembahan di Dewan Philharmonik Petronas, Kuala Lumpur pada tahun 2011.
Paul mengasah kemahiran bersama ahli kumpulannya, Tugu Drum Circle.
“Kami tidak mempunyai jadual persembahan yang tetap di sini tetapi setiap kali beraksi pasti ramai pengunjung hadir,” jelas Paul.
Penari tarian gelek
Dalam pada itu, kelihatan dua orang wanita sedang asyik menari mengikut rentak irama yang dimainkan oleh kumpulan Tugu Drum Circle. Mereka menyertai kumpulan berkenaan pada awal tahun ini sebagai penari tarian gelek tribal.
Kedua-dua mereka ialah Nikki Law, 29, dan Beatrice Flowers, 32, yang memakai pakaian dan aksesori lengkap seolah-olah sedang membuat persembahan rasmi di hadapan penonton.
“Penyertaan kami seumpama melengkapkan lagi kumpulan ini malah kami rasa teruja setiap kali membuat persembahan,” kata Nikki.
Rakannya, Beatrice, seorang warga United Kingdom yang datang ke negara ini sebagai pelatih tarian turut teruja setiap kali berpeluang menyertai persembahan di kawasan tersebut.
Berkecimpung dalam bidang tarian gelek sejak berusia 10 tahun, Beatrice menganggap tarian gelek tribal sebagai sangat unik.
Menurutnya, tarian tersebut memerlukan penari mengenakan lebih banyak pakaian dan aksesori bagi menyerlahkan gerak tari.
Di sudut lain, kelihatan seorang lelaki sedang memberi tunjuk ajar kepada seorang wanita. Dia turut memegang poi iaitu sebuah alat bertali yang mempunyai bebola di bahagian hujungnya.

ORANG ramai dialu-alukan menyertai persembahan seni di Plaza Tugu.


Alat itu berfungsi dengan memusingkannya menggunakan kedua-dua belah tangan.
Fariz Barburs, 29, seorang eksekutif perniagaan dari New Zealand sangat meminati aliran seni itu.
Fariz berkata, aksi tersebut cukup mencabar kerana poi perlu dipusingkan menggunakan dua belah tangan dan dihayun ke dua arah bertentangan.
Dia berminat dengan seni itu sejak menontonnya di laman YouTube pada tahun 2008.
“Saya turut mempelajari teknik-teknik persembahan tersebut melalui internet,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Taman Desa, Kuala Lumpur, Taufek Hamdan, 28, tidak menyangka dapat menyaksikan persembahan yang menarik di kawasan tersebut.
“Sebelum ini, saya tidak tahu terdapat persembahan secara percuma di Plaza Tugu.
“Ternyata persembahan mereka yang cukup menghiburkan menyerikan lagi suasana hujung minggu di Tugu Negara,” katanya yang menikmati tarian itu dari jarak agak jauh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: