Sunday, April 14, 2013

Pesawat Lion Air terlajak landasan terjunam ke laut di Bali


FOTO yang diambil daripada TV One menunjukkan pesawat Lion Air Boeing 737 yang mengalami retak serius selepas terjatuh ke dalam laut berhampiran lapangan antarabangsa Denpasar, Indonesia semalam.


BALI, Indonesia - Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Lion Air yang membawa 108 penumpang dan anak kapal mendarat di atas laut selepas terlajak tidak jauh dari landasannya.
Insiden itu menyebabkan lebih 40 orang cedera. Pegawai agensi penyelamat Bali, I Made Krisna Maharta memberitahu, semua yang tercedera dibawa ke tiga buah hospital.
Rakaman televisyen menunjukkan anggota polis dan penyelamat menggunakan bot getah untuk menyelamatkan mangsa. Sementara sekeping foto daripada saluran TV One pula menunjukkan terdapat satu retakan besar pada badan pesawat yang masih berada di atas air.
Pengarah Besar Penerbangan daripada Kementerian Pengangkutan, Harry Bakti Gumay menyatakan, pesawat dari Bandung tersebut terlajak daripada landasan, sebelum jatuh ke laut dari ketinggian 50 meter. Punca kejadian masih belum diketahui dan Gumay menegaskan siasatan sedang dijalankan.
Pegawai hospital menjelaskan sekurang-kurangnya tujuh orang penumpang dibawa ke Hospital Sanglah. Mereka mengalami luka di kepala dan patah tulang.
"Pesawat sedang mendarat dan akhirnya masuk ke dalam laut. Semua orang menjerit dan panik kerana takut akan mati lemas," kata seorang penumpang, Dewi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: