Thursday, April 18, 2013

Pentingnya aplikasi dalam telefon pintar



DALAM kejadian rompakan di Seri Kembangan, Selangor, 4 Januari lalu, seorang wanita dikenali sebagai Linda telah kehilangan sebuah tablet Galaxy Note 10.1.
Bagaimanapun, Linda bernasib baik kerana dia gemar memuat turun aplikasi Dropbox dalam semua gajet miliknya. Aplikasi tersebut membolehkan pengguna menyimpan fail dan gambar selain ia boleh diakses melalui komputer.
Dropbox menggunakan teknologi perkomputeran awan yang fungsinya sama seperti perkhidmatan bekalan air dan elektrik yang disalurkan ke setiap rumah.
Perkomputeran awan juga membolehkan seorang pemilik syarikat memiliki laman web, sistem operasi pejabat tanpa perlu membeli dan membina perkakasan komputer yang mahal di lokasi masing-masing.
Keperluan teknologi itu ialah mesin yang bertindak sebagai pusat data dan perisian maya. Perisian tersebut yang membolehkan keperluan penyimpanan data pada perkakas diubah berdasarkan kepada keperluan pelanggan.
Laman sosial seperti Facebook, iCloud, Google Apps merupakan perkomputeran awan perisian manakala perkhidmatan penghosan web seperti MediaFire, Dropbox dan RapidShare termasuk dalam jenis penyimpanan.
Merujuk kepada statusnya dalam Facebook, Linda memberitahu, baru-baru ini dia memuat turun beberapa keping gambar miliknya menerusi telefon pintar yang baru dibelinya.
Di samping memasukkan gambar, Linda menyedari terdapat beberapa keping gambar individu yang tidak dikenali di dalam kamera Dropbox.
Selepas meneliti gambar-gambar tersebut, terdapat dua lelaki dipercayai pencuri gajetnya.
Menerusi gambar-gambar itu, dia melihat kedua-dua perompak tersebut mengayakan pelbagai aksi di dalam tandas sambil mengambil gambar dengan menggunakan tabletnya.

SEKIRANYA anda memuat turun aplikasi keselamatan, ia dapat mengesan lokasi peranti yang hilang.


“Saya percaya mereka terus menggunakan telefon bimbit tanpa daftar keluar atau memadamkan akaun Dropbox milik saya. Sehubungan itu, saya masih boleh menerima semua maklumat daripada Dropbox menerusi komputer,” jelasnya lagi.
Dia kemudiannya membawa foto-foto tersebut kepada pihak polis sebagai bahan bukti.
Dalam kes tersebut, Linda berpeluang untuk mendapat semula gajetnya kerana mempunyai bukti kukuh yang diperoleh daripada aplikasi berkenaan.
Tiada statistik kecurian
Merujuk kepada laporan akhbar sebelum ini, Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah memberitahu, pihaknya tidak mempunyai statistik mengenai bilangan kecurian melibatkan telefon bimbit.
Berbanding di bandar New York, rekod polis menunjukkan lebih 40 peratus kes rompakan pada hari ini melibatkan telefon bimbit.
Dalam pada itu, Muhammad Idrus Abdul Wahab, 35, yang memberhentikan kereta di bahu jalan sekitar Kuchai Lama, Kuala Lumpur turut menjadi mangsa rompakan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, Idrus menanggung kerugian lebih RM4,000 apabila kehilangan sebuah telefon bimbit jenama iPhone, wang tunai RM200 dan cermin tingkap kereta pecah.
Bagaimanapun, Idrus bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
Berbicara lanjut mengenai kejadian berkenaan, dia memberitahu, ketika itu dia sedang leka bermain permainan menerusi telefon pintarnya sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal.
“Mereka merampas telefon bimbit dan memeriksa seluruh tubuh saya. Saya terkejut dan tidak mampu berbuat apa-apa sebelum membuat laporan di balai polis berdekatan.
“Apabila pihak polis mengesan kedudukan menerusi aplikasi iPhone iaitu ‘cari telefon saya’, mereka dikesan berada di Kota Damansara sebelum hilang setelah telefon bimbit berkenaan dimatikan,” ujarnya yang memberitahu kes tersebut masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: