Sunday, April 7, 2013

Penjenamaan semula Ezlisa Loy

EZLISA LOY menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang kulinari.


SEJAK di bangku sekolah rendah lagi Ezlisa Loy dan adiknya Ezzrin Loy sudah bergelar pelakon. Pada masa itu kakaknya, Elfira Loy yang ketika ini sedang menempa nama masih belum lagi menceburkan diri dalam dunia hiburan.
Biarpun Ezlisa mendahului kakaknya dalam dunia hiburan, namun pada hari ini populariti dan kuantiti kerja lakonan Elfira lebih dominan.
Namanya juga masih kabur sehinggakan ada peminat yang tersalah memanggil dengan nama Elfira sementelah wajah adik-beradik ini saling tak tumpah.
Sedikitpun tidak berkecil hati, bahkan Ezlisa lebih selesa membuka laluan kerana bidang lakonan sekadar menjadi kerjaya sandaran.
"Saya tidak kisah pun kalau kakak lebih dikenali kerana bergelar pelakon bukanlah impian saya yang sebenar. Saya mahu mengutamakan pelajaran," katanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Biarpun Esliza masih belum mengecap populariti, namun setiap lakunya tetap mendapat perhatian. Terkini, si gadis berusia 17 tahun telah berubah penampilan.
Daripada fesyen tidak menutup aurat, Ezlisa tampak selesa mengenakan hijab sejak tiga bulan lalu. Ezlisa kini sudah menjenamakan semula imej dirinya.
Dia yang pada ketika ini sedang mengerjakan ibadat umrah di samping ahli keluarga termasuklah Elfira belum bersedia untuk aktif berlakon, sementelah pada tahun ini Ezlisa bakal menghadapi peperiksaan besar.
Sedang mempersiapkan diri kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal tiba penghujung tahun ini, Ezlisa mengambil pendekatan untuk menjadi seorang pelakon yang selektif.
Biarpun mengakui bahawa dia bukanlah seorang yang memilih dan cerewet, tetapi tindakan itu difikirkan perlu bagi memberi ruang untuk dia melebihkan waktu belajar.
"Saya tidak mahu mengenepikan pelajaran. Justeru buat masa ini saya hanya memilih tawaran watak-watak tertentu sahaja dan membaca skripnya terlebih dulu. Bukannya kerana cerewet atau memilih, cuma perlu membahagikan masa juga kepada pelajaran.
"Untuk tidak ketinggalan dalam pelajaran, seorang tutor akan datang ke rumah rumah khas untuk mengajar matapelajaran Matematik Tambahan dan Fizik. Lagipun peperiksaan SPM hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi," katanya yang merupakan pelajar aliran sains tulen.
Anak ketiga daripada empat beradik itu juga menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang kulinari kerana minat yang mendalam dalam bidang masakan.
"Kalau dahulu saya bercita-cita mahu menjadi seorang doktor atau doktor gigi, tetapi saya sedar bahawa minat saya adalah dalam bidang kulinari.
"Saya banyak melayari laman sosial YouTube untuk mempelajari kaedah memasak," kata Ezlisa yang merancang menyambung pengajian di luar negara.
Selain pernah membintangi drama seperti Relung Kasih, Sejadah Kaabah, Qalesha, Debunga Lalang dan Nana Nini Nunu, Ezlisa bakal muncul dalam telemovie berjudul Adik Kami menerusi slot Cerekarama di TV3 pada 6 April pukul 10 malam.
Adik Kami yang merupakan drama arahan Shuhaimi Lua mengisahkan kisah hidup tiga beradik yang kematian orang tuanya. Pelbagai pengalaman pahit dilalui oleh ketiga-tiga kanak-kanak itu dalam meneruskan hidup.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: