Thursday, April 18, 2013

Pencuri minyak dan pencemaran alam


PENYELUDUP minyak di Nigeria memperoleh pendapatan berpuluh ribu ringgit sebulan hasil penjualan minyak yang dicuri daripada syarikat petroleum negara itu.


SEJAK remaja, Pam Tonye, yang tinggal di Port Harcourt, River State, Nigeria sering melihat kemewahan hidup pekerja syarikat petroleum.
Kerana itulah, kerjaya tersebut menjadi impiannya, namun ia tidak menjadi kenyataan.
Setelah tamat belajar universiti, empat tahun lalu, Tonye mendapat pekerjaan sebagai guru di sebuah sekolah swasta dengan gaji bulanan sebanyak N20,000 (RM384).
Selepas dua bulan menjadi guru, Tonye terjumpa rakan sekelasnya di kawasan Perindustrian Trans Amadi, yang terletak di pelabuhan berkenaan. Perjumpaan itu membuka jalan untuknya mengejar impian ketika zaman remaja iaitu bekerja di syarikat minyak.
Walaupun, rakannya itu memiliki perniagaan berkaitan minyak, Tonye berdepan dilema apabila mengetahui perniagaan tersebut dijalankan secara haram.
Pada mulanya, dia menolak pelawaan tersebut, tetapi rakannya itu berjaya memujuknya termasuk menjanjikan gaji lumayan mencecah sebanyak RM7,700 sebulan.
Tidak sampai enam bulan menceburi bidang tersebut, Tonye mampu membeli sebuah kenderaan utiliti sukan jenama Nissan. Selain itu, dia turut membina sebuah rumah di Port Harcourt.
Pencuri minyak
Di bandar-bandar besar di Delta Niger seperti Port Harcourt, Warri, Yonagoa dan Uyo, ramai anak muda seperti Tonye menyamar sebagai pekerja syarikat petroleum.
Hakikat sebenarnya, mereka merupakan pencuri minyak mentah. Minyak tersebut dicuri daripada syarikat minyak dan gas, Trans Niger Pipeline (TNP) atau Nembe Creek Trunk Line (NCTL).
Kumpulan pencuri tersebut menggunakan peralatan dan kapal canggih sebelum mengisi minyak mentah tersebut dalam tong-tong drum.
Ia kemudiannya dijual terus kepada para pelanggan yang telah sedia menunggu di sekitar pantai di pelabuhan berkenaan.

TUMPAHAN minyak juga memberikan kesan kepada tanaman pertanian di kawasan sekeliling.


Syarikat petroleum, Royal Dutch Shell (Shell) mengutuk perbuatan kumpulan pencuri tersebut yang menyebabkan kerugian besar kepada syarikat berkenaan.
Menurutnya, kes kecurian minyak di wilayah itu berada pada tahap membimbangkan, malah dipercayai ia membabitkan sindiket jenayah terancang.
Tumpahan minyak
Selain berdepan masalah kecurian minyak mentah, syarikat minyak dan gas juga perlu mengatasi kejadian tumpahan minyak. Pada tahun 2012 terdapat 36 kes kejadian tumpahan membabitkan hampir 200 tan minyak mentah.
Dalam pada itu, Shell Petroleum Development Company (SPDC) mengalami sebanyak 137 kes tumpahan minyak akibat sabotaj dan kecurian pada tahun 2012 dengan isipadu minyak yang hilang berjumlah 30,000 tan.
"Berbanding tahun 2011, berlaku peningkatan besar pada isipadu dan bilangan kes kecurian minyak di Nigeria," menurut laporan itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan SPDC dan Pengerusi Negara Shell Nigeria, Mutiu Sunmonu menggesa kerajaan persekutuan, komuniti tempatan dan antarabangsa agar mengambil langkah bagi menghentikan kecurian minyak di Delta Niger.
Syarikat multinasional itu turut melancarkan reviu terhadap aset minyak dan gas di negara tersebut. Tindakan tersebut bertujuan bagi menyambung semula kerja-kerja pembersihan alam sekitar akibat pencemaran minyak yang berlaku di wilayah Ogoniland pada dua dekad lalu.
Katanya, ia bukanlah untuk memulakan semula pengeluaran minyak, tetapi bagi mematuhi laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2011.
"Sejak menggantung operasi pada 1993, kami ingin menilai semula kemudahan yang ada termasuk loji sebelum melihat kaedah pembersihan yang boleh digunakan.
"Proses pembersihan alam sekitar itu bakal menjadi yang terbesar di dunia," kata Sunmonu.
Jurucakap syarikat tersebut, Precious Okolobo berkata kepada AFP, tindakan tersebut sebagai langkah untuk memenuhi laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) yang mengeluarkan perincian impak terhadap pencemaran minyak di wilayah terbabit.

SALAH satu stesen Shell di Awoba, Nigeria.


Laporan itu turut meminta pemain industri minyak dan gas serta kerajaan Nigeria supaya menyumbang AS$1 bilion (RM3.04 bilion) untuk tabung pembersihan di wilayah tersebut.
Dijangka, proses pembersihan tersebut mengambil masa sehingga 30 tahun.
Kejadian paling teruk dan menerima kutukan dunia di Ogoniland adalah pada tahun 1995 apabila aktivis alam sekitar, Ken Saro-Wiwa dikenakan tindakan undang-undang semasa di bawah rejim Jeneral Sani Abacha.
Sebelum kematiannya, Wiwa begitu lantang mengkritik syarikat petroluem seperti Shell.
Adik Wiwa, Harry mengalu-alukan kedatangan semula Shell ke wilayah berkenaan selepas dua dekad jika syarikat itu mempunyai tujuan baik iaitu membersihkan tumpahan minyak.
"Jika tujuan Shell untuk membersihkan tumpahan, kami mengalu-alukan kedatangannya tetapi UNEP mesti menyelia operasi itu," tegasnya.
Menurut kenyataan SPDC, firma tersebut masih lagi mengawal sekurang-kurangnya tujuh telaga minyak di kawasan tersebut dan juga stesen keluaran, loji gas serta saluran paip.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: