Sunday, April 7, 2013

Pencuri hati, Tegan dan Sara


TEGAN (kiri) dan Sara Quinn keluar dengan sebuah album yang disifatkan lebih pop dan komersial.


DUO dari Kanada, Tegan dan Sara mempertaruhkan lagu Closer yang kental dalam nuansa dansa dan irama.
Lagu yang memenangi anugerah Grup Baru Terbaik pada Anugerah Radio Muzik Kanada itu cukup padu dijadikan sebagai pengenalan album yang diberi judul Heartthrob itu.
Single perdana taruhan mereka ini mengetengahkan penceritaan untuk menjadi lebih intim secara emosional dan fizikal. Juga mungkin cara duo ini menarik perhatian terhadap khalayak yang lebih besar untuk album mereka yang digambarkan penuh perubahan.
Lagu pada trek ketiga iaitu I Was A Fool memberikan khalayak kepada sebuah lagu cinta yang membawa pendengar kepada rasa dan suasana tahun 1980-an.
Untuk duo indie rock yang menubuhkan grup ini pada tahun 1995 itu, album ini mempamerkan gerak dan langkah yang lebih besar buat mereka.
Membuat sedikit transformasi dalam bunyi dan arah seni, album ini mempamerkan kolaborasi kemas antara mereka dan produser, Greg Kurstin. Terdapat juga hasil tangan penerbit Justin Meldal-Johnsen dan Rob Cavallo pada beberapa trek lain.
Tegan dan Sara seperti sudah mempunyai pengaruh yang sangat kuat daripada Roxette serta Cyndi Lauper. Pengaruh pop ketara pada bunyi keyboard dan melodi yang sebenarnya terarah 1980-an tetapi diberi nafas fusion melalui permainan alat muzik dan kesan khas.
Dalam album ini, duo ini menyampaikan rasa kesunyian, penyesalan keinginan terhadap romantisnya percintaan dan secara keseluruhan lirik yang mereka hasilkan sentiasa menarik dan segar.
Jika target Tegan dan Sara kali ini ialah untuk mencuri hati audiens komersial dan pop yang lebih besar, album ini mungkin memenuhi impian mereka itu.
Komen Sofia: Untuk yang sepi tapi mahu mendengar lagu-lagu dalam nada tidak terlalu tertekan, inilah ubatnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: