Pelakon lama, pengarah baru
Pelakon lama, pengarah baru
SELEPAS mempertaruhkan drama adaptasi popular Adam Hawa dan Sehangat Asmara, Global Station Sdn Bhd kini bakal tampil dengan buah tangan terbarunya berjudul Dahlia yang turut bakal menemui penonton di saluran Astro Mustika HD bermula 22 April ini.
Drama yang bakal mencetuskan fenomena baru kepada penonton tempatan ini telah mendapat sentuhan segar dari pengarah baru, Pali Yahya.

Selain menampilkan jalan cerita lebih dramatik, barisan pelakon yang terlibat menjayakan drama ini seperti Dira Abu Zahar, Hans Isaac, Faizal Hussein dan Raja Ilya pastinya memberi pengalaman baru buat penonton setianya.

Penerbitnya, Datin Zaiton Mohd Jiwa mengatakan, jalan cerita Dahlia adalah gabungan idea daripada pihak Global Station dan penulis skrip dan bukannya daripada kisah adaptasi novel seperti drama yang pernah diterbitkan sebelum ini.
“Drama ini secara keseluruhannya mengisahkan mengenai kebangkitan seorang wanita bergelar isteri selepas dikecewakan suami yang curang dengan teman rapatnya sendiri.
“Kali ini, kami berhasrat untuk berhenti seketika daripada menghasilkan produk daripada adaptasi novel kerana mahu beri sedikit kelainan kepada penonton,” katanya.
Dalam pada itu, Zaiton turut memberitahu, kepercayaan yang diberikan kepada pengarah yang baru pertama kali menghasilkan drama adalah kerana mahu melihat satu pembaharuan dan hasil yang lebih segar dan versatil.
“Sebenarnya, Pali Yahya bukanlah orang asing dalam bidang pengarahan cuma kali ini dia akan bergerak sendiri mengarahkan drama Dahlia.
“Kami percaya dengan kredibilitinya dan saya sendiri kagum dengan semangatnya untuk menghasilkan drama ini,” katanya lagi.
Sepakat pilih pelakon

Menyentuh mengenai pelakon, keempat-empat pelakon utama yang terlibat dalam drama ini dikatakan terpilih berdasarkan kesesuaian watak drama tersebut.
“Alhamdulillah, selepas mengadakan perbincangan bersama Astro, kami mencapai kata sepakat memilih pelakon yang ada.
“Pada masa sama, pelakon yang kami pilih juga tidak mempunyai masalah untuk terlibat sama dalam pembikinan drama ini,” katanya.

Zaiton turut mengatakan selain bersesuaian dengan watak, pemilihan pelakon juga dilakukan atas sebab kehebatan mereka dalam menguasai watak dengan baik.
“Hans Isaac dan Dira adalah pelakon hebat, tetapi kedua-duanya sudah lama tidak muncul dalam lakonan drama dan atas alasan itu juga kami memilih mereka.
“Saya berpuas hati dengan komitmen yang mereka berikan. Keserasian lakonan mereka juga pasti memberi impak yang baik buat drama ini,” jelasnya.