Dua rakan kena penjara
Ahmad Safwan dan Mohamad Rahim (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU - Dua rakan tidak sempat meraikan hasil habuan kegiatan jenayah pecah rumah yang dilakukan mereka selepas ditangkap oleh menantu pemilik rumah ketika cuba melarikan diri.

Ahmad Safwan Salleh, 19, dari Kampung Tok Jiring, di sini, dan Mohamad Rahim Mohd Noor, 20, dari Taman Perumahan Gong Badak 4, dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mereka mengaku bersalah melakukan pecah rumah milik Syarifah Ermi Syed Badaruddin di Jalan Gong Badak, melibatkan nilai kerugian RM250, antara jam 8 malam hingga 10 malam pada 22 Mac lalu.

Mereka melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala kedua-duanya tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah meninggalkan kediamannya kira-kira jam 4 petang pada 21 Mac lalu untuk ke Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, sebelum itu, mangsa ada meninggalkan pesan kepada menantunya yang bekerja sebagai anggota polis cawangan Suksis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) supaya memantau keselamatan rumah sepanjang ketiadaannya.

Pada jam 10 malam hari sama, menantu mangsa telah ke rumah berkenaan dan ternampak pintu jeriji serta  pintu hadapan utama terbuka.

Dia mengesyaki rumah berkenaan dipecah masuk dan segera menghubungi Balai Polis Gong Badak untuk mendapatkan bantuan tetapi ketika itu juga dia ternampak dua suspek keluar dari pintu utama.