Monday, April 15, 2013

Nora berani, Shirin terkilan

NORADANISH


KEGAGALAN pelakon utama filem Mencari Cinta, Rusdi Ramli hadir ke majlis tayangan perdana filem itu baru-baru ini disifatkan sebagai tidak profesional oleh pengarahnya Shirin Khuzaimi, sedangkan heroin filem tersebut Nora Danish menghadirkan diri.
Pengarah filem tersebut menganggap Rusdi gagal menghadirkan diri ke majlis tersebut kerana bimbang dengan kontroversi babak atas ranjangnya bersama Nora Danish.
Shirin juga mendakwa penerbit filem tersebut, Khairul Anuar Zainal Kadri mengatakan Rusdi mempunyai komitmen kerja lain.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Shirin tentang filem yang diterbitkan oleh Armnett Sdn. Bhd. dan Red Movies Sdn. Bhd. itu dengan bajet RM1.5 juta tersebut.
Kosmo!: Mengapakah hero filem ini, Rusdi Ramli tidak hadir? Adakah Shirin sudah dimaklumkan tentang ketidakhadirannya?
SHIRIN: Saya tidak pasti kenapa dia tidak hadir, mungkin dia sibuk. Namun bagi saya, dia seorang pelakon yang tidak profesional kerana tidak hadir ke majlis tayangan perdana filemnya sendiri. Sudah pasti pihak produksi ada menjemputnya tetapi sejak kontroversi tercetus, saya cuba menghubungi Rusdi, bagaimanapun tidak berjawab.
Adakah hal ini berkaitan dengan adegan intim yang banyak terdapat dalam filem ini membabitkan dia dengan Nora Danish?
Saya kecewa bila dia memberikan kenyataan kononnya tidak senang dengan aksinya dalam babak tersebut. Walhal ketika penggambaran, dia bersetuju dengan setiap babak yang saya arahkan, tidak ada sebarang bantahan. Saya juga tanya pendapatnya terlebih dahulu sebelum penggambaran babak tersebut dilakukan.
Bagaimanakah pula dengan tindakan pihak penerbit yang mengeluarkan trailer filem yang membabitkan babak kontroversi itu di laman pengkongsian video YouTube sebagai gimik untuk menarik perhatian penonton dan mendapat publisiti percuma?
Sebenarnya ia bukan gimik kerana selain babak tersebut, kami telah memuat naik tiga trailer yang lain, tetapi kenapa babak itu sahaja yang menarik perhatian. Kami tidak meraih sebarang keuntungan daripada kontroversi tersebut.
Filem ini juga banyak menerima kritikan sebelum ia ditayangkan pada 25 April ini. Boleh anda komen sedikit?
Saya mengaku filem ini dikritik hebat gara-gara babak panas yang dimaksudkan itu sedangkan jika penonton menonton sendiri filem ini, babak tersebut tidak seperti yang disangkakan. Lagipun filem ini bukan berunsur seks sebaliknya berunsur romantik.
Apakah keperluan babak intim seperti tidak berbaju di atas katil ini dipertontonkan?
Saya kira ia memang satu keperluan kerana filem ini bercerita tentang percintaan selepas berkahwin. Itu yang ingin saya tonjolkan kerana pada zaman sekarang jarang orang berkahwin dahulu, kemudian baru bercinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: