|
RUMAH tangga pelakon Noniswara Baharudin, 43, dengan Datuk Rosman Ridzwan, 54, yang bakal memasuki usia empat tahun pada 1 Ogos depan sudah tidak mampu diselamatkan dikatakan akibat orang ketiga.
Mereka berdua sudah tidak tinggal sebumbung sejak tujuh bulan yang lalu menyebabkan pelakon itu tekad memfailkan kes perceraian terhadap suaminya di mahkamah syariah pada Februari lalu.
Perbicaraan kes perceraian itu telah pun berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur sebelum ini.
Pada hari ini, 11 April perbicaraan itu diadakan di lokasi yang sama bagi menentukan status terkini mereka.
Pelakon itu tidak mempunyai anak bersama Rosman, tetapi mempunyai tiga orang anak hasil daripada perkahwinan terdahulunya.
Rosman pula mempunyai lima orang anak daripada perkahwinan sebelum ini.
Noniswara yang ditemui baru-baru ini mengakui masih bersedih dengan apa yang berlaku dan cuba untuk mencari kehidupan yang baharu. Ikuti temu bual Noniswara bersama Kosmo!
Kosmo!: Bagaimanakah dengan kehidupan Noniswara sekarang selepas kes perceraian anda di mahkamah?
Kes penceraian saya masih berjalan di mahkamah, kehidupan saya seperti biasa sahaja. Saya masih sibuk dengan penggambaran lakonan.
Apakah perasaan anda apabila perkahwinan kedua juga gagal di tengah jalan?
Jujur saya katakan, tiga bulan pertama masalah ini berlaku, saya hanya menangis. Memang saya sedih, siapa yang tidak sayangkan perkahwinan. Alhamdulillah, sekarang saya sudah menerima hakikat dan reda dengan segala yang berlaku. Sekarang saya kena gembira supaya hati saya tidak bersedih lagi.
Sebelum memfailkan kes perceraian, adakah anda berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga anda?
Memang saya berusaha untuk selamatkan rumah tangga, tetapi apa yang saya boleh buat jika jodoh saya sampai di sini sahaja.
|
Adakah anda kenal orang ketiga yang dikatakan punca kemelut dalam hubungan antara anda dan Rosman?
Saya tidak mahu komen tentang orang ketiga itu. Apapun, saya sentiasa maafkan suami dan orang ketiga itu. Tidak perlulah saya beri komen siapakah yang bersalah. Sekarang, saya hanya mahu sebuah kehidupan yang baharu.
Selepas apa yang berlaku, adakah anda serik untuk berkahwin lagi?
Saya tidak boleh kata serik kerana perkahwinan itu satu ibadat. Cuma, buat masa ini saya belum fikirkan tentang perkara itu kerana masih berstatus isteri orang dan masalah saya juga belum selesai lagi.
Andai ditakdirkan anda bertemu jodoh sekali lagi, apakah kriteria lelaki pilihan anda?
Saya akan elak lelaki yang curang dan tidak setia. Sudah pasti saya mahukan seorang lelaki yang setia, baik dan taat pada agama supaya boleh membimbing saya. Sebelum itu harus kenal mengenali terlebih dahulu. Hal jodoh ini, saya serahkan kepada takdir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: