Sunday, April 14, 2013

Noniswara nekad cerai

NONISWARA BAHARUDIN bersama suaminya Datuk Rosman Ridzwan ketika melangsungkan pernikahan mereka pada 1 Ogos 2009.


BARU bulan April dan belum pun sampai ke pertengahan tahun 2013, kisah keretakan rumah tangga golongan selebriti sudah memeriahkan kamar mahkamah syariah.
Belum selesai dengan perbicaraan perceraian Rita Rudaini dengan suaminya Aidil Zafuan. Penerbit dan pelakon, A. Aida juga menuntut cerai daripada suaminya, Deputi Superintendan Suffian Sulaiman. Jeslina Hashim juga tiba-tiba mengejutkan ramai apabila perkahwinannya dengan Dion Andrew Vercoe diakhiri dengan talak satu pada bulan lalu.
Terbaharu, dramatis Noniswara Baharudin, 43, pula mencuri perhatian ramai. Setelah berbulan-bulan suami yang dikahwininya empat tahun lalu Datuk Rosman Ridzwan dikatakan tidak pulang ke rumah gara-gara didakwa ada hubungan dengan wanita lain, Noniswara nekad mahu bercerai.
Biarpun keputusan itu bakal jadi perceraian kedua dalam hidupnya, dia tidak sanggup bertahan apatah lagi, wanita berkenaan pernah berkawan baik dengannya.
"Saya tidak sangka, kawan makan kawan. Dia itu rakan artis juga. Saya kenal rapat dan sebelum ini, dia pernah meminta saya untuk cari teman lelaki untuk dikenalkan kepadanya sedangkan dia sudah memiliki ramai kenalan lelaki.
"Artis itu mula memberi perhatian kepada suami saya ketika saya sibuk dengan kerja-kerja di lokasi. Dia mula meracuni fikiran suami saya dan cuba memburuk-burukkan saya," memetik kata-kata dramatis itu kepada media sebelum ini.
Noniswara mendedahkan bahawa dia pernah bersemuka dengan artis wanita berkenaan.
"Saya terpaksa menemui wanita itu bagi mendapatkan penjelasan tentang tindak-tanduknya tapi tetap tidak mendatangkan sebarang kebaikan.
"Sebelum bertemu dengannya saya ada bercakap dan berbalas SMS (khidmat pesanan ringkas) dengannya bagi membincangkan perkara yang melanda dalam rumah tangga saya sehingga ia membawa kepada kehancuran. Bagaimanapun artis itu tetap menafikan perbuatan dan kesilapan yang telah dilakukannya," jelas Noniswara kepada media sebaik selesai prosedur di mahkamah Khamis lalu.
Noniswara atau nama sebenarnya Monis Wara Baharudin, 44, mendirikan rumah tangga bersama ahli korporat itu pada 1 Ogos 2009. Pasangan itu tidak dikurniakan anak sebaliknya Noniswara dan Rosman masing-masing mempunyai tiga serta lima orang anak hasil daripada perkahwinan mereka yang terdahulu.
Kekecewaan Noniswara tambah membebankan apabila Rosman seperti mengelak daripada menerima saman supaya hadir ke mahkamah.
Menurut dramatis yang berasal yang dari Pasir Mas, Kelantan itu, pelbagai cara telah dilakukan untuk menghubungi dan menyerahkan saman kepada suaminya namun gagal.
"Saya menuntut cerai atas persetujuan bersama, ketika saya menghantar SMS kepada dia sebelum ini dia menjawab, bersetuju untuk teruskan perceraian tetapi tidak mahu hadir ke mahkamah.
"Dia juga ada bertanya perkembangan kes tetapi apabila saman cuba dihantar dia enggan beri kerjasama dan tidak lagi menjawab panggilan telefon mahupun SMS saya," ujar Noniswara.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 18 April ini untuk pihak plaintif mencuba menyampaikan saman kepada defendan. Tuntutan cerai yang dilakukan oleh Noniswara sejak Februari itu tidak dapat diteruskan jika Rosman terus bertindak tidak hadir ke mahkamah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: