Wednesday, April 10, 2013

Nilai bakat, bukan rupa

WAWA memberitahu dia mahu dinilai dari segi mutu lakonannya, bukan kerana paras rupa.


DI sebalik kemunculan ramai pelakon wanita cantik dan berbakat, Wawa Zainal antara salah seorang pelakon yang semakin menyerlah dan namanya juga sudah mula meniti di bibir peminat.
Cuma bukan mudah buat pemilik nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin itu mahu mencipta nama sebagai pelakon, lantaran tanggapan segelintir pihak yang seperti mempertikaikan bakat lakonan yang dimilikinya.
Berkesempatan menemui pelakon cantik itu semasa berlangsungnya acara Anugerah Bintang Popular (ABP) 2012 pada Ahad lalu, pelakon itu mengakui masih ada pihak yang mengkritik mutu lakonannya.
"Ketika mula-mula berlakon dahulu memang terdapat banyak kelemahan, malah saya mengaku memang agak geli semasa menonton lakonan sendiri di kaca televisyen dan layar perak.
"Apabila sedar mutu lakonan yang ditampilkan tidak memuaskan, akhirnya saya berusaha memperbaikinya dan kini saya berasa cukup gembira apabila sudah ada pihak yang memuji lakonan saya," ujarnya.
Ketika ditanya tentang pandangan skeptikal terhadap pelakon cantik sepertinya yang dilihat sekadar bersandarkan paras rupa, Wawa menyatakan perkara sebegitu agak sukar untuk dielakkan.
Beranggapan bahawa setiap orang mempunyai penilaian dan pandangan masing-masing, sebaliknya pelakon itu mahu membuktikan dia sebenarnya memang berbakat menjadi seorang pelakon.
Ujarnya, dia lebih suka sekiranya peminat menilai bakat lakonan yang dimilikinya berbanding memperkatakan tentang paras rupa.
"Kerjaya seni saya bermula dari bawah. Saya datang ke Kuala Lumpur seorang diri dan telah bekerja keras tanpa mengira waktu semata-mata mahu mengejar cita-cita menjadi seorang pelakon yang berjaya.
DIPILIH sebagai Artis Baharu Wanita Popular, Wawa bertekad untuk mempertingkatkan kualiti lakonannya.


"Kalau diimbas semula perjalanan karier lakonan saya, memang pelbagai cabaran yang perlu saya hadapi. Sehinggakan saya pernah berputus asa untuk jadi pelakon dan pulang semula ke kampung," jelasnya ketika menceritakan detik-detik awal kariernya sebagai anak seni.
Menurut Wawa, dia pernah mendapati dirinya kurang mendapat tawaran berlakon sehingga berhadapan masalah kewangan, tetapi ia tidak sedikit pun melunturkan semangatnya.
"Saya dikira agak bernasib baik kerana berpeluang bernaung di bawah syarikat Metrowealth Pictures yang telah banyak membuat perancangan terhadap kerjaya seni saya.
"Pada masa yang sama saya sudah menganggap David Teo serta kakitangan syarikat berkenaan seperti keluarga sendiri dan tidaklah saya rasa kesunyian berada di Kuala Lumpur seorang diri," ujarnya.
Berkenaan dengan perkembangan kerjaya lakonannya pula, pelakon berusia 22 tahun itu meluahkan rasa syukurnya dengan tawaran lakonan yang semakin mencurah-curah.
"Karier lakonan saya bermula dengan watak-watak yang kecil sahaja, kini sudah tentu saya cukup gembira dan berbangga apabila mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah untuk memegang watak utama," ujarnya yang bakal tampil dalam filem 99 Kali Rindu pada bulan hadapan.
Bonus
Acara ABP 2012 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad lalu pastinya memberi kenangan tersendiri buat Wawa apabila berjaya meraih anugerah Artis Baharu Wanita Popular.
Ujarnya, dia sendiri langsung tidak menjangka sama sekali untuk merangkul anugerah berkenaan berdasarkan saingan sengit yang diberikan oleh artis wanita yang lain.
"Saya hadir ke acara ABP ini pun semata-mata mahu memeriahkan majlis. Meskipun tercalon untuk satu kategori, saya langsung tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
"Pada mulanya saya menjangkakan bahawa Nad Zainal yang akan menang, malah saya sendiri seperti tidak percaya dan sangat terkejut apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang," jelasnya.
Menurutnya, dengan kemenangan yang diraih itu merupakan satu bonus buat dirinya supaya lebih bekerja keras bagi membalas budi peminat yang telah menyokong kerjaya lakonannya selama ini.
WAWA memilih untuk memberi fokus terhadap karier lakonannya berbanding soal cinta.


Balik kampung
Insiden pencerobohan yang dilakukan oleh pengganas sulu di Lahad Datu, Sabah pastinya sedikit memberi kesan kepada Wawa memandangkan dia berasal dari kawasan tersebut.
Menurut Wawa, pada mulanya dia berasa agak risau sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini menimpa kaum keluarganya yang menetap di kampung.
"Sudah tentu saya tidak senang hati apabila mengenangkan nasib ahli keluarga di kampung, sehinggakan saya pernah terfikir untuk membawa mereka datang ke Kuala Lumpur.
"Kemudian saya berasa cukup lega dan gembira setelah mengetahui bahawa ahli keluarga saya berada dalam keadaan selamat apabila menghubungi mereka setiap hari," ujarnya.
Meskipun sudah mengetahui tentang keadaan ahli keluarganya, Wawa menyatakan dia masih lagi berasa bimbang kerana saban hari cerita mengenai pencerobohan itu dipaparkan di akhbar dan televisyen.
Jelasnya, bagi menghilangkan segala rasa bimbang yang melanda dirinya, akhirnya dia membuat keputusan pulang ke kampung halamannya di Kampung Muhibbah, Lahad Datu tiga minggu lalu.
"Sebenarnya kami sekeluarga agak bernasib baik kerana insiden pencerobohan tersebut berlaku agak jauh dari kampung saya. Cuma kebanyakan kedai di pekan banyak yang ditutup," jelasnya yang bercuti selama dua minggu di kampung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: