Friday, April 12, 2013

Nazim Othman Serius Mahu Jadi Penyanyi

Nazim bakal melancarkan single pertamanya dalam masa terdekat.
PETALING JAYA: Pelakon dan model, Nazim Othman yakin dapat menjadi seorang penyanyi yang baik selepas dia membuat keputusan menceburkan diri dalam bidang muzik.
Nazim, 29, berkata, walaupun menyedari persaingan yang hebat dalam industri muzik namun dia optimis mampu bersaing dengan bakat sedia ada.
"Saya sedar persaingan banyak tetapi kita perlu mempunyai keyakinan yang tinggi dan buat yang terbaik tidak kira dalam apa bidang," jelasnya kepada mStar Online.
Tambahnya, perancangan untuk bergelar penyanyi sudah lama dibuat malah ‘single’ pertamanya sedang dalam proses akhir untuk disiapkan.
"Single pertama sudah hampir siap namun tidak pasti bila ia akan dilancarkan kerana jadual saya agak ketat buat masa ini," katanya.
Lagu yang masih belum diberi tajuk itu akan menampilkan konsep pop.
Dalam pada itu, bercakap mengenai karier lakonannya, Nazim berkata, dia berharap dapat diberi peluang untuk memegang watak berlainan berbanding yang sering diterimanya supaya dapat mempelbagaikan korektornya sebagai pelakon.
Jelas Nazim, dia sudah terlalu kerap menggalas peranan lelaki ‘urban’ dalam drama lakonannya sebelum ini dan mahu mencuba watak lelaki 'kampung' atau pun orang 'miskin'.
"Malangnya sehingga hari ini tiada watak sedemikian yang pernah diberikan dan saya tidak pasti apakah puncanya.
"Kalau nak kata wajah saya tidak sesuai, saya yakin bantuan daripada unit solekan dan pakaian dapat mengubah personaliti seseorang untuk sesuatu watak itu," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Nazim kini sedang sibuk menyiapkan drama terbaharunya berjudul Epilog Cinta Kirana yang bakal menemui penonton menerusi slot Samarinda di TV3.
Selain Nazim drama bersiri arahan Azmi Hatta itu turut menampilkan pelakon seperti Tasha Shilla, Raja Ilya, Alif Aziz dan Arash Mohamad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: