Thursday, April 18, 2013

Mizz Nina Tidak Khuatir Populariti Merudum Kerana Jay Park

Nina yakin mampu menarik kehadiran peminat setianya manakala kemunculan Jay hanyalah sekakar bonus untuk konsert itu nanti.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Mizz Nina tidak khuatir popularitinya merudum dengan kemunculan bintang K-Pop, Jay Park yang akan hadir bagi menyertai konsert 'Around The World' pada 18 Mei depan.
Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 32, berkata, menerusi konsert sulungnya itu dia yakin mampu menarik kehadiran peminat setianya manakala kemunculan Jay hanyalah sekakar bonus untuk konsert itu nanti.
"Ia adalah merupakan konsert saya sepenuhnya dan kehadiran Jay hanya untuk mempersembahkan lagu duet kami iaitu Around The World.
"Bagaimanapun tidak dinafikan akan ada peminat yang hadir kerana untuk menyaksikan Jay," ujarnya pada sidang media konsert berkenaan di Publika, di sini, Rabu.
Nina bakal mempersembahkan 15 buah lagu pada konsert yang bakal diadakan di KL Live @ Life Center itu. Ia akan diadakan kira-kira sejam bermula pukul 8.30 malam.
Selain Jay, Nina turut mengundang suaminya, Noh (Hujan), Altimet dan Teh Tarik Crew.
Dalam pada itu, Nina berkata, dia memilih lokasi yang sederhana besar untuk konsert itu bagi memudahkannya mendekati peminat.
Mizz Nina dan Jay Park berkolaborasi dalam sebuah lagu berjudul Around The World.
Malah kata Nina, memandangkan ia konsert pertamanya, dia tidak yakin dapat memenuhkan ruang sekiranya memilih untuk mengadakannya di lokasi lebih besar seperti dalam stadium.
"Konsert ini adalah atas usaha dan perancangan saya selama hampir setahun dan ia juga memakan kos yang tinggi sekiranya diadakan di lokasi yang besar.
"Buat permulaan biarlah ia diadakan dalam skala sederhana kerana paling penting saya dapat berada dekat dengan peminat," ujarnya.
Tambah Nina, konsert ini juga sangat bermakna kerana ia menjadi satu signifikan penglibatannya dalam dunia seni selama hampir 15 tahun.
"Konsert ini adalah tentang perjalanan saya sepanjang bergelar anak seni sejak muncul dengan kumpulan Teh Tarik Crew pada tahun 1999 hinggalah," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Nina berkata, pada malam itu nanti dia akan menggayakan empat persalinan pakaian rekaan Micheal Ong mengikut tema iaitu gaya hip-hop, diva, super hero dan sofistikated.
Kata Nina setiap konsep itu melambangkan perjalanan kariernya dan telah mencuba pelbagai jenis muzik sepanjang terlibat sebagai anak seni.
Sementara itu, ujarnya konsert 'Around The World' itu akan diiringi 10 pemuzik dan 19 penari.
"Selain sedang giat menjalani latihan untuk memantapkan persembahan, saya amat menitik beratkan soal pencahayaan, konsep pentas malah akan menggunakan kesan grafik pada malam itu nanti.
"Saya akan memastikan peminat akan terhibur dengan persembahan itu nanti," ujarnya.
Peminat yang ingin mendapatkan tiket konsert tersebut boleh melayari laman www.redtix.airasia.com atau di semua cawangan Rock Corner dan Victoria Music.
Tiket-tiket dijual pada harga RM70 (pra-jualan) dan RM100 (di pintu masuk konsert).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: