Thursday, April 18, 2013

Misha, Firos tetap kahwin

MISHA OMAR menafikan sekeras-kerasnya dia dan Firos telah putus tunang.


"SAYA masih lagi tunangan Firos Ezzwan Rossly dan hubungan kami tetap bahagia tanpa sebarang masalah!"
Itulah kenyataan yang keluar daripada mulut penyanyi Samihah@Aisah Omar atau lebih sinonim dengan panggilan Misha Omar saat diajukan pertanyaan mengenai status hubungan dengan tunangnya itu.
Misha yang ditemui pada majlis pelancaran teater Nyonya & The Gang di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada minggu lalu, menyatakan terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan tentang hubungannya dengan Firos apabila mereka sekali lagi mengambil keputusan untuk menangguhkan perkahwinan.
Penyanyi itu berkata, setelah perbincangan dilakukan, dia dan Firos terpaksa menangguhkan lagi perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada tahun ini setelah tertangguh pada tahun lalu.
"Kalau ikut perancangan kami sepatutnya diijabkabulkan pada September 2012, tetapi tidak terlaksana kerana Firos agak sibuk menjalani kelas penerbangan untuk membawa pesawat Airbus.
"Kami kemudian telah sepakat untuk berkahwin pada tahun ini. Namun, melihat kepada jadual kerjaya masing-masing yang sangat padat akhirnya kami merasakan perlu menangguhkan sekali lagi perkahwinan kami," ujarnya yang mengikat tali pertunangan dengan Firos pada 21 Februari 2012.
Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan Firos, penyanyi itu menafikan sekeras-kerasnya mereka sedang berantakan. Sebaliknya, cinta dan kasih antara mereka berdua masih lagi kekal seperti sedia kala.
Menurut Misha, dia sendiri tidak menyangka keputusan untuk menangguhkan perkahwinannya itu telah menyebabkan timbul dakwaan yang menyatakan hubungan mereka sudah pun berakhir.
"Apa yang boleh saya cakap memang tiada rezeki kami untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini. Dakwaan yang menyatakan hubungan kami sudah putus pula memang tidak berasas.
"Saya tidak nafikan jadual kerjaya kami berdua yang sangat padat menjadi punca kepada penangguhan perkahwinan kami. Namun begitu, saya bersyukur kerana kami saling memahami kerjaya masing-masing dan sebab itu tidak pernah timbul sebarang konflik," jelasnya.

GAMBAR pertunangan Misha dan Firos pada 21 Februari 2012. Mereka kini masih menanti saat yang sesuai untuk berkahwin.


Ketika ditanya bilakah dia dan Firos akan mendirikan rumah tangga, kata Misha, mereka masih belum lagi mendapat tarikh yang sesuai. Bagaimanapun, dia sangat berharap agar dapat bergelar isteri pada tahun hadapan.
Ujarnya, pada usia yang sudah mencecah 31 tahun sekarang ini, sudah tentu perkahwinan merupakan impian yang paling utama dan seboleh-bolehnya dia tidak mahu menunggu terlalu lama untuk bergelar isteri.
"Dugaan yang kami lalui sekarang ialah masa dan tugas serta kami tidak kerap sangat berjumpa kerana tugasnya sebagai juruterbang, manakala saya pula memberi tumpuan kepada karier seni.
"Bagi kami langkah terbaik yang perlu dilakukan adalah memberi fokus kepada kerjaya masing-masing terlebih dahulu. Setelah semua urusan kerja kami berkurangan barulah kami boleh membuat segala persiapan untuk perkahwinan pula," ujarnya.
Dengan harapan agar perkahwinannya itu tidak lagi ditangguhkan, Misha menyatakan dia akan cuba mengurangkan aktiviti seninya pada tahun hadapan supaya impiannya bergelar isteri tercapai.
Enggan komen
Selain kisah perkahwinannya yang terpaksa ditangguhkan diperkatakan ramai, Misha terbabit pula dengan kontroversi mengenai lagu nyanyiannya iaitu Angin Syurga.
Baru-baru ini lagu nyanyiannya itu yang dicalonkan dalam rancangan Muzik Muzik di TV3 telah dikeluarkan, meskipun baru seminggu tercalon sehingga menimbulkan pertanyaan ramai pihak.
Ketika diminta memberi komen mengenai perkara tersebut, penyanyi itu menyatakan dia tidak dapat memberikan sebarang komen kerana ia membabitkan pihak TV3 dan syarikat rakaman Sony Music Malaysia.
"Mengenai perkara ini saya terima keputusan yang dibuat dengan hati yang terbuka, cuma saya enggan komen kerana tidak mahu sebarang kenyataan saya nanti akan diputarbelit segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Apa yang saya tahu penarikan lagu Angin Syurga ini telah mendapat persetujuan daripada semua pihak dan tiada isu-isu lain yang berkaitan. Saya rasa perkara ini tidak perlulah diperbesar-besarkan lagi," tegasnya.
Tidak menafikan ramai pihak terutamanya peminat yang bertanya serta ada tanggapan segelintir pihak yang menyatakan dia takut kalah ketika bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu, penyanyi itu tidak mahu terlalu memikirkan sangat mengenainya.
"Kalau saya terlalu ambil kisah tentang apa yang orang cakap, sudah tentu saya sendiri yang akan rasa tertekan. Jadi, lebih baik saya fokus sahaja terhadap kerjaya sekarang," ujarnya.

MISHA memberitahu, dia tetap akan berkahwin dengan Firos pada tahun hadapan.


Album baharu
Bercerita tentang perkembangan kerjaya pula, Misha memberitahu dia bakal melahirkan album baharu yang akan dilancarkan pada bulan hadapan setelah tampil dengan album terakhir pada tahun 2008.
Menurut Misha, untuk album tersebut dia masih lagi mengekalkan konsep pop dan mendapat kerjasama dengan beberapa komposer hebat seperti Datuk M. Nasir, Tam Spider dan Tony Spider.
"Dalam album baharu saya ini terdapat lapan buah lagu, antaranya Angin Syurga, Kabus Dan Masa dan Untuk Bermimpi. Setakat ini sudah 90 peratus disiapkan.
"Saya begitu yakin dan percaya dengan kolaborasi bersama beberapa komposer hebat untuk penerbitan album ini, semua lagu-lagu dalam album ini akan diterima baik oleh pendengar," ujarnya.
Berkenaan dengan dunia lakonan pula, Misha memberitahu dia baru selesai menjalani penggambaran drama arahan Erma Fatima berjudul Nur Kasih Di Jabbal Rahmah pada Februari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: