Minta siasat status tanah
Kerja-kerja membuang tanah di gelanggang sepak takraw Taman Bukit Bendera masih berlaku ketika tinjauan Sinar Harian ke tapak itu, pagi semalam.
MENTAKAB – Persatuan Belia Taman Bukit Bendera meminta pihak berkuasa menyiasat status tanah menempatkan sebuah gelanggang sepak takraw di Jalan Bendera Utama sama ada rizab kerajaan atau hak milik perseorangan.
Pengerusinya, Hizamri Abdul Kadir berkata, Pejabat Daerah dan Tanah perlu menjalankan siasatan memandangkan berlaku kerja pembuangan tanah dari tapak projek rumah kedai ke gelanggang takraw itu.

Menurutnya, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana gelanggang tersebut masih digunakan, malah baru sahaja beberapa hari dibaik pulih penduduk tempatan.
“Kami kecewa dan menggesa pihak berkuasa menyiasat sama ada lot tanah itu milik individu atau rizab kerajaan. Jika milik kerajaan, tindakan pemaju itu adalah salah dan perlu diselesaikan segera.

“Kami bukan mahu mencari salah sesiapa, sebaliknya ingin menyelesaikan masalah ketiadaan gelanggang sepak takraw di sini,” katanya.

Hizamri berkata, kerja membuang tanah itu berlaku sejak awal minggu ini dan masih berterusan sehingga semalam, sedangkan gelanggang tersebut baru dibaik pulih penduduk.
Menurutnya, penduduk juga baru selesai menganjurkan kejohanan sepak takraw hujung minggu lalu, namun kini gelanggang itu tidak dapat digunakan penduduk lagi.
Dalam pada itu katanya, bagi semakan pihak berkuasa, gelanggang itu terletak bersebelahan sebuah dewan terbuka dan gelanggang bola keranjang serta tenis milik sebuah resort.
“Pihak berkuasa boleh hubungi saya di talian 019-9558828 untuk selesaikan isu ini,” katanya.