Thursday, April 18, 2013

Mengundi untuk kali ke-13

SUDAH menjadi rutin Pak Long Man untuk membaca surat khabar setiap pagi.


TANGGAL 5 Mei nanti, kira-kira 13 juta rakyat Malaysia yang layak akan bersama-sama melengkapkan proses demokrasi negara dengan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Bahang PRU-13 semakin dirasai apabila perang poster dan bendera parti memenuhi bandar sehinggalah ke ceruk kampung.
Tidak kurang juga yang menghasilkan replika kreatif seperti wau, perahu, kapal selam dan kapal terbang sebagai simbolik sokongan mereka terhadap parti.
Kemeriahan ‘perang’ PRU kini turut membangkitkan semangat dan keterujaan rakyat untuk melalui proses pengundian yang semakin hampir terutamanya generasi muda yang kali pertama menggunakan hak sebagai pengundi.
Namun berbeza pula bagi seorang warga emas, Othman Daud atau lebih mesra disapa dengan panggilan Pak Long Man yang berumur 101 tahun dari Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam Pulau Pinang.
PRU kali ini adalah kali yang ke-13 yang akan dilaluinya sebagai pengundi. Pak Long Man yang dilahirkan pada 12 Disember 1912 pertama kali mengundi pada pilihan raya pertama Malaysia tahun 1955 iaitu semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.
“Pak Long memang sudah lama tinggal di Kampung Tanah Liat dan pertama kali mengundi pada 1955. Setiap kali ada pilihan raya, Pak Long akan pergi mengundi dengan menaiki basikal.
“Di sini, Pak Long mengundi di Sekolah Kebangsaan Penanti dan kali ini kalau badan sihat, Pak Long nak pergi mengundi lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Lebih manis, usianya yang menjangkau 101 tahun tidak menjadi penghalang untuknya menunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia.
Nasihat untuk orang muda
Jelasnya lagi, generasi muda hari ini perlu menjadi generasi yang bertanggungjawab dan peka kepada perkembangan politik negara dan menjadikan hari mengundi sebagai satu kewajipan kepada mereka.
“Orang muda zaman sekarang kurang ambil tahu tentang politik, mereka hanya suka kepada hiburan sahaja, surat khabar pun kurang baca sampai ada yang tidak faham maksud Dewan Undangan Negeri.
“Macam mana nak mengundi kerana pilihan raya bukan perkara main-main atau seronok untuk pangkah sahaja.
“Pak Long yang sudah tua pun masih baca surat khabar. Tiap-tiap pagi selepas balik dari sawah Pak Long pergi beli surat khabar di kedai kemudian baca, baru kita tahu apa yang berlaku dalam negara kita,” ujarnya.
Dia yang merupakan anak sulung daripada 12 adik-beradik memberitahu, suasana politik dahulu sangat berbeza dengan zaman sekarang.
Semasa kali pertama mengundi katanya, rakyat amat teruja apabila kampung mereka dikunjungi para pemimpin seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Abdul Razak yang turun padang bersama-sama rakyat.

ISTIMEWANYA pengundi warga emas ini, dia telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi untuk semua 12 PRU sebelum ini.


Katanya, keinginan untuk mencapai kemerdekaan ketika itu juga mempengaruhi rasa keterujaan rakyat untuk terlibat sama sepanjang proses pilihan raya umum.
Dia yang telah menyaksikan evolusi pembangunan negara dari sebuah bekas tanah jajahan British kepada apa yang wujud pada hari ini sememangnya berterima kasih kepada kebijaksanaan para pemimpin terdahulu.
“Dahulu senang sebab tidak banyak parti macam sekarang. Sekarang ada lebih empat parti utama, susah kita nak buat pilihan.
“Dahulu penyokong parti politik pun tidak gaduh-gaduh tapi sekarang silap sikit nak bergaduh dan jadi huru-hara,” tambahnya.
Othman berkata, masyarakat sekarang perlu bersatu dan tidak cepat melatah kerana meskipun ideologi dan pegangan politik mereka berbeza, namun semuanya masih bergelar rakyat Malaysia serta tinggal di tanah air yang sama.
“Pak Long ada baca surat khabar beberapa hari lepas ada tulis kawasan paling panas di Pulau Pinang ialah di Tasek Gelugor dan Bagan, sebab itu kena jaga-jaga suhunya lebih daripada 36 darjah Celsius,” katanya berseloroh.
Ditanya mengenai kriteria calon pilihan pengundi, Othman berkata, calon yang akan menjadi pilihannya mestilah seseorang yang memiliki ciri-ciri kepimpinan, tidak sombong dan mempunyai keperibadian yang baik.
Justeru, Othman berharap proses pilihan raya kali ini akan berjalan lancar dalam keadaan aman dan stabil.
Dia turut menasihati pengundi supaya menjalankan kewajipan mereka dengan keluar mengundi dan membuat pilihan tepat supaya kemakmuran negara dapat dikekalkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment