Sunday, April 14, 2013

Masjid lumpur Mali


MASJID lama di Timbuktu, Mali dibina dengan lumpur.


IBNU BATUTAH sememangnya dikenali sebagai seorang pelayar dan pengembara yang hebat.
Pemilik nama Muhammad Abdullah Muhammad yang berasal dari Tangier, Maghribi pada 25 Februari 1304 ini sebenarnya lebih popular berbanding Marco Polo dan Christoper Columbus.
Tahap keilmuwannya bukan calang-calang kerana menguasai ilmu perbandingan agama, kesusasteraan dan geografi.
Kononnya, untuk menyembunyikan sejarah dan pencapaiannya yang ‘luar biasa’ segala artifak dan dokumen mengenainya disembunyikan Perancis semasa menjajah negara Benua Afrika ini.
“Kehebatan Ibnu Batutah hanya dapat disaingi Marco Polo (1254M - 1324M),” ujar seorang pakar sejarah, Brockelmann.
Ironi, Ibnu Batutah mula menjelajah seluruh dunia semasa berumur 21 tahun.
Dalam buku catatannya yang ringkas iaitu Rihlah, lelaki bersemangat waja ini memberitahu, tujuan utamanya mengembara hanya untuk menunaikan haji di Mekah selain menziarahi makam Rasulullah SAW di Madinah.
Tetapi selama hampir 30 tahun, pelbagai negara di benua Afrika, Eropah Selatan, Eropah Timur, Timur Tengah, India dan China berjaya dijejakinya.
Perjalanan sejauh 117,000 kilometer itu hanya mampu ditandingi pelayar lain seperti Christopher Columbus, Vasco de Gama, dan Ferdinand Magellan itupun selepas 125 tahun.
Salah satu lokasi tumpuannya ialah Mali. Beliau menyifatkan kota Timbuktu, Mali sebagai kota kaya terindah yang mampu menandingi Eropah semasa itu.

URANIUM sebagai bahan utama menjana tenaga nuklear.


Timbuktu
Sebelum ini, gambaran kekayaan kota Timbuktu menarik minat penjajah Eropah untuk menguasainya.
Malangnya, orang bukan Islam dilarang masuk ke kota ini. Persatuan Geografi Perancis menawarkan wang yang banyak kepada penjelajah Eropah yang berjaya masuk ke Timbuktu. Tawaran ini disahut Rene Caillie.
Dia menyamar sebagai orang Islam dan berjaya menjadi orang bukan Islam pertama dapat masuk ke Timbuktu.
Pada akhir abad ke-19, penjajah Perancis menguasai Mali sebelum mengisytiharkan penggabungannya dengan negara itu pada 1904.
Namun, negara ini akhirnya mendapat kemerdekaan 56 tahun kemudian.
Kini, Timbuktu hanya sebuah bandar kecil yang miskin namun masih menyimpan ribuan khazanah berharga selain keunikan masjid dan perpustakaan dibina dengan lumpur.
Timbuktu diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1988 kerana ‘nilai’ 70,000 manuskrip lama termasuk al-Quran purba.
Malah reka bentuk capal Rasulullah SAW yang kini terkenal di dunia Islam ditemui di Timbuktu melalui manuskrip lama yang dibongkar oleh pakar-pakar sejarah Islam.
Kegemilangan Mali sebagai pusat perkembangan ilmu Islam bermula pada kurun ke-13 hingga ke-17 semasa pemerintahan Askia Mohammad.
Empayar ini merupakan kerajaan terbesar, maju dan kaya kerana perdagangan tekstil, emas dan garam merentas Gurun Sahara pada kurun ke-14.
Uniknya, dalam urusan perniagaan mereka menggunakan emas dan perak sebagai mata wang dalam bentuk dinar dan dirham.
Penggunaan mata wang wajib kerana amalan riba dapat dihindari dan perniagaan yang jujur dapat diadaptasikan.

MALI sarat dengan manuskrip Islam lama yang bernilai tinggi.


Masjid lumpur
Timbuktu juga terkenal dengan Masjid Djinguereber yang dibina 100 peratus daripada lumpur.
Ia dibina oleh Sultan Kankan Moussa selepas kepulangannya pulang menunaikan haji pada 1325.
Sebagaimana Masjid Djinguereber, Masjid Sankore, Timbuktu, Mali dibina mengikut saiz Kaabah di Mekah.
Sementara itu, Masjid Sidi Yahia pula dibina sekitar tahun 1400 dan dipulihara oleh pemimpin Mali iaitu Al Aqib pada tahun 1577 hingga 1578. Ia menempatkan 16 tapak perkuburan dan makam.
Negara Benua Afrika ini kaya dengan sumber galian seperti emas, fosfat, kaolin, bauksit, besi dan uranium.
Bekas penjajah Perancis masih menguasai negara ini untuk bekalan uranium.
Dua pertiga bahan bakar Perancis berasal daripada sumber tenaga nuklear yang berperanan untuk menjana tenaga dan persenjataan bom nuklear.
Mali pengeluar ketiga terbesar emas di Afrika namun malangnya kini merupakan antara negara termiskin di Afrika.
Namun, bintang muziknya Salif Keita sedikit sebanyak mengurangkan suhu politik negara ini yang kerap berlakunya perang saudara yang mengorbankan banyak nyawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: