Friday, April 12, 2013

Malam Amal Tahajjud Cinta


FAREEDA turut mempersembahkan barisan koleksi tudung baharu rekaannya.


SUASANA ruang legar Grand Ballroom, Grand Hyatt Kuala Lumpur pada malam tanggal 3 April lalu umpama majlis anugerah bintang popular memandangkan ramai hadirin bergaya sakan untuk tampil anggun bagi menjayakan majlis Makan Malam Amal Tahajjud Cinta.
Diwarnai dengan pelbagai rona pakaian ceria, Malam Amal Tahajjud Cinta dianjurkan secara eksklusif oleh Fareeda dan Yayasan Aids Malaysia.
Ia diadakan bagi meraih dana untuk Yayasan Aids Malaysia serta sebuah lagi pertubuhan kebajikan, Yayasan Ihtimam Malaysia.
Ramai yang hadir memberikan sokongan pada majlis tersebut termasuk beberapa selebriti tanah air seperti Lisdawati, Wan Sharmila dan Riz Amin.
Menurut Pengerusi Malam Amal Tahajjud Cinta, Yazlan Yahya, kehadiran tetamu pada malam tersebut membawa pengertian yang amat besar kepada usaha meringankan beban orang yang hidup dengan HIV di negara ini.
“Dana yang terkumpul akan digunakan sebaiknya bagi memberikan kesempatan kepada mereka yang hidup dengan HIV menikmati kehidupan yang normal, berkeluarga dan membina kerjaya sekali gus menyumbang kepada masyarakat.
“Sehubungan dengan itu, saya ingin menguar-uarkan kepada orang ramai bahawa stigma serta diskriminasi berkaitan AIDS dan HIV tiada tempat dalam masyarakat kita,” katanya.
Komitmen Fareeda
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Fareeda, Aminuddin Basirron berterima kasih kepada Yayasan Aids Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia kerana memberikan peluang kepada Fareeda menyertai inisiatif Malam Amal Tahajjud Cinta.

SITI NURHALIZA begitu bersemangat menghiburkan hadirin menerusi tujuh buah lagu.


“Penglibatan Fareeda dalam program malam amal ini merupakan usaha ikhlas bagi membantu golongan kurang bernasib baik.
“Kami melihat perjuangan untuk membantu meringankan beban orang yang hidup dengan HIV dan AIDS sebagai satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama oleh anggota masyarakat,” ujarnya.
Tambahnya, penglibatan dalam kerja-kerja amal telah membuka mata pihaknya tentang erti sebenar di sebalik HIV dan AIDS seperti cabaran yang terpaksa ditempuhi mereka. Ia menguatkan lagi iltizam Fareeda untuk terus menghulurkan bantuan.
Pertunjukan fesyen
Pada malam itu, hadirin dipersembahkan dengan tayangan video mengenai Yayasan Aids Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia disusuli dengan alunan muzik instrumental oleh Mohram yang terkenal dengan tiupan seruling dan rebana Melayu.
Sambil menjamu selera, hadirin dihidangkan dengan pertunjukan fesyen menampilkan koleksi terbaharu tudung Fareeda yang turut mengetengahkan konsep tudung labuh, sesuai untuk mengerjakan umrah.
Antara koleksinya ialah Zaynab V Shape, Zaynab saiz L bunga di badan, Zaynab Sabreena Warna Putih, Zaynab Sabreena warna hitam dan Selendang Suraiya Zaynab.
Usai melihat peragaan tudung yang digayakan oleh para finalis Pencarian Model Tudung Fareeda 2012, para tetamu pada malam itu dihiburkan dengan nyanyian oleh Bob Yusof yang merupakan salah seorang Selebriti Sokongan Riben Merah.
Selepas itu, pertunjukan fesyen kedua tudung Fareeda menampilan pula koleksi Suzanna 3 layer printed, Sofiya 3 layer tone, Sara 3 layer plain dan selendang Mawar Tone.
Acara lelong
Timbalan Pengerusi Malam Amal Tahajjud Cinta yang juga Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan Aids Malaysia, Fahrin Ahmad yang segak berjubah putih kemudian mengambil tempat bersama Bob Yusof memulakan acara lelongan tudung.
Lelongan pertama merupakan tudung rona hitam merah yang pernah dipakai oleh Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ketika majlis sidang media Malam Amal Tahajjud Cinta yang ditatah dengan batu Swarovski.
Dibuka untuk bidaan pada harga RM500, hadirin yang rata-ratanya wanita saling membida bagi memastikan tudung tersebut menjadi milik mereka.
Akhirnya, tudung tersebut dimenangi Noaryati Ahmad, 34, dari Bangi, Selangor selepas berjaya membida pada harga RM1,100.
“Saya mahu memiliki tudung tersebut memandangkan ia pernah dipakai oleh Siti Nurhaliza dan pada masa yang sama, saya turut meminati koleksi tudung Fareeda,” ujarnya.

SEORANG petugas mengikat reben merah di pergelangan tangan seorang tetamu sebagai tanda sokongan kepada kempen Yayasan Aids Malaysia.


Persembahan Siti Nurhaliza
Malam Amal Tahajjud Cinta sampai ke kemuncaknya apabila tepat pukul 10.15 malam, penyanyi kesayangan ramai, Siti Nurhaliza muncul di atas pentas untuk membuat persembahan.
Menyarung busana gaun labuh rona biru, penampilan Siti Nurhaliza pada malam itu begitu memukau, apatah lagi saat dirinya mula mendendangkan lagu.
Berpadu suara dengan iringan muzik instrumental dari Mohram dan susunannya oleh Aubrey Suwito, Siti Nurhaliza begitu bertenaga membawakan tujuh buah lagu antaranya Lagu Rindu, InsyaAllah, Kepadamu Kekasih, Ayat-ayat Cinta, Nirmala dan Padamu Ku Bersujud.
Pusingan kedua lelongan tudung Siti Nurhaliza menyaksikan tudung rona biru hitam itu dibuka untuk bidaan pada harga RM1,500.
Walaupun agak mahal, namun peminat penyanyi nombor satu negara itu iaitu Fauziah Syeikh Omar sanggup meletakkan harga tertinggi RM2,800 untuk menewaskan pembida lain.
Selain itu, lukisan potret Siti Nurhaliza hasil karya pelukis tersohor Abdul Rahman Sulaiman berjaya dibida oleh S. Svasann daripada KP Marketing Sdn. Bhd. pada harga RM2,500.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: