curi pisang
Lelaki ini dicekup penduduk ketika bawa pisang curi keluar dari sebuah kebun di Kampung Tebuk Jawa, kelmarin. Gambar kiri: Pisang yang dicuri.
SABAK BERNAM - Seorang tertangkap manakala dua lagi berjaya melepaskan diri dalam kejadian curi hasil kebun milik penduduk Kampung Tebuk Jawa, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an disyaki penagih dadah dari kampung berhampiran dicekup penduduk ketika cuba membawa keluar beberapa tandan pisang dari sebuah kebun.

Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tebuk Jawa, Mohamad Sungip Mohd Omar berkata, bertindak atas maklumat, penduduk dan ahli KRT berkumpul di lokasi dipercayai berlakunya kegiatan mencuri itu.

"Hasil soal siasat, lelaki berkenaan memberitahu dia memasuki tiga kebun dalam kampung ini pada hari yang sama. Kali pertama dan kedua, dia bawa beberapa tandan pisang keluar dan kali ketiga dia tertangkap.

"Bagaimanapun, kita syak dia tidak menjalankan kerja mencuri ini seorang diri dan yakin ada dua lagi rakan subahatnya yang dapat meloloskan diri," katanya.

Difahamkan, lelaki itu kemudiannya diserahkan ke Balai Polis Sungai Air Tawar untuk tindakan lanjut.

Mohamad Sungip berkata, kejadian kecurian hasil kebun di kampung itu berleluasa hingga menjejaskan pendapatan penduduk.

Bagaimanapun katanya, kegiatan itu dijangka berkurangan dengan adanya kerjasama penduduk, KRT dan polis yang kerap menjalankan rondaan.

"Bulan lalu, sudah ada seorang yang ditangkap dan sekarang seorang lagi dicekup. Jadi, kita beri amaran jangan masuk kampung ini dengan niat mencuri.

"KRT di sini sentiasa memerhati dan memantau pergerakan orang luar yang keluar masuk. Awas bagi yang berniat mencuri, kalau tertangkap buruk padahnya," katanya.

Difahamkan, selain kecurian hasil kebun, dalam tahun ini sahaja, kampung terbabit berdepan hampir 10 kes pecah rumah pada siang hari ketika penghuninya keluar bekerja.