Monday, April 15, 2013

Kutip beg selepas pesawat terlajak


BADAN pesawat itu terputus dua.


DENPASAR - Sekumpulan anggota penyelamat menggunakan sebuah bot untuk mengutip beg-beg milik penumpang dan kru yang terapung di sini semalam.
Beg-beg itu bertaburan selepas ia keluar dari sebuah pesawat baharu syarikat Lion Air yang terlajak ke dalam laut semasa mendarat di Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali.
Walaupun pesawat Boeing 737-800 itu terputus dua, kesemua 108 orang yang menaiki pesawat tersebut termasuk tujuh kru, seorang bayi dan empat warga asing selamat.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia, Bambang Ervan berkata, pihaknya akan melakukan siasatan bagi mengetahui punca pesawat yang berlepas dari Bandung itu terlajak kelmarin.
Sebuah kumpulan yang menyiasat insiden itu telah memperoleh perakam penerbangan pesawat tersebut.
Badan pesawat tersebut juga akan ditanggalkan bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan bagi mengetahui punca nahas itu.
Menurut Bambang, juruterbang dan pembantunya akan disiasat sama ada mereka mengambil dadah.
Nahas itu berlaku ketika hujan.
Pesawat tersebut diterima oleh pihak syarikat berkenaan pada bulan lalu daripada syarikat Boeing.
Seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Dewi berkata, pesawat tersebut berada dalam posisi pendaratan apabila ia kemudiannya merempuh laut.
"Semua penumpang yang berada dalam keadaan panik dan ketakutan kemudian menjerit kerana mereka bimbang akan lemas.
"Saya meninggalkan semua barang milik saya sebelum menuju ke pintu kecemasan.
"Saya keluar dari pesawat dan berenang sebelum anggota-anggota penyelamat membantu saya," katanya kepada agensi berita AP.
Pesawat itu terlajak 50 meter dari landasan.
Seramai 52 mangsa dirawat di hospital dengan sebahagian mereka cedera di kepala dan patah tulang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: