Thursday, April 11, 2013

Keterujaan pengundi kali pertama

PASTIKAN anda menyemak daftar pemilih di laman web SPR sebelum tarikh pengundian.


SERAMAI 2.5 juta daripada keseluruhan 13.3 juta orang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) merupakan pemilih baharu.
Berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyaksikan ia mewakili 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.
Golongan muda dilihat bakal memainkan peranan penting dalam menentukan pemenang dalam PRU-13 bagi 222 kawasan Parlimen dan 505 kawsasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak termasuk Sarawak.
Jumlah tersebut menunjukkan undi kumpulan itu mampu memberi kesan besar kepada parti-parti yang bertanding pada pilihan raya kali ini.
Justeru, Kosmo! meninjau pandangan pengundi muda yang mengundi buat pertama kali pada PRU-13 ini.
Tan Peng Koon, 26, yang termasuk dalam golongan itu sangat teruja untuk membuang undi buat kali pertama.
Tunai tanggungjawab
Dia yang bekerja di Singapura sanggup mengambil cuti untuk pulang ke kampung halaman di Chukai, Kemaman, Terengganu.
“Peluang mengundi tidak boleh dilepaskan begitu sahaja kerana ia menentukan nasib negara pada masa depan.
“Saya juga mendapatkan maklumat berkaitan pilihan raya terutama dalam internet bagi memastikan pilihan yang dibuat nanti tepat,” katanya.
Seorang pelajar dari Padang Besar, Perlis, Siti Nur Fathirah Adnan, 24, juga tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja apabila mengetahui namanya termasuk dalam senarai pengundi.
“Saya bersyukur kerana sudah boleh keluar membuang untuk sekali gus menunaikan tanggungjawab kepada negara. Pada masa sama, saya juga rasa gementar kerana takut tersalah membuat pilihan.
“Saya berharap pemimpin yang memperoleh mandat pada PRU-13 ini dapat melakukan perubahan dan penambahbaikan kepada rakyat,” ujarnya.
Bagi gadis yang berasal dari Ipoh, Perak, Nur Amira Noor Kamal, 23, pula sudah tidak sabar untuk mengundi pada pilihan raya kali ini.
“Peluang untuk membuang undi besar ertinya pada diri saya kerana satu undi boleh mencorakkan landskap politik negara.
“Saya berharap rakyat Malaysia yang lain turut keluar mengundi sekali gus menunaikan hak dan tanggungjawab kepada negara,” jelasnya.
Nurul Atiqah Ismail, 22, pula sanggup menangguhkan segala program yang dirancang semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.
“Apabila tarikh pengundian ditetapkan, saya pasti keluar mengundi dan akan menangguhkan aktiviti-aktiviti lain.

GOLONGAN muda merupakan golongan terbesar daripada keseluruhan pengundi baharu yang layak mengundi pada PRU-13 ini. - Gambar hiasan.


“Saya juga akan menonton YouTube tentang hari pengundian bagi mengetahui suasana pada hari tersebut dan perkara-perkara yang perlu dilakukan.
“Selain itu, saya turut mencari maklumat dan membaca berkaitan isu-isu yang dibangkitkan oleh parti-parti bertanding,” katanya yang berasal dari Bangi, Selangor.
Sementara itu, Pensyarah kanan Fakuti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Prof. Madya Dr. Ismail Sulaiman berkata, pengundi baharu perlu bijak menilai bagi memperoleh manfaat daripada keputusan yang dibuat kelak.
“Pastikan maklumat yang diterima daripada sumber sahih dan membuat keputusan berdasarkan fakta yang rasional dan realistik.
“Pengundi baharu harus memastikan kad pengenalan sentiasa dibawa bagi membolehkan mereka mengundi. Jangan beri kad pengenalan kepada pihak yang diragui statusnya,” ujarnya.
Selain itu, katanya, pengundi baharu juga perlu memastikan lokasi pusat membuang undi.
Bagi pengundi yang menetap di luar kawasan, mereka hendaklah merancang dengan baik perjalanan pergi dan balik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: