Wednesday, April 17, 2013

Katak dan kodok jadi sumber protein

PERCAYA atau tidak, manusia telah menjadikan katak sebagai sumber protein sejak ribuan tahun lalu.


SEBUT sahaja katak mahupun kodok, rata-rata daripada kita menganggap haiwan pemilik fizikal hodoh dan menggelikan ini tidak menyumbang apa-apa kepada kebaikan kehidupan manusia.
Hakikatnya, haiwan ini menjadi pelengkap kepada ekosistem kehidupan.
Menurut Kurator Zoologi Muzium Alam Semula Jadi, Nor Zela Suleiman, dalam ekosistem, semua haiwan saling berhubung kait.
"Jika katak dan kodok ini semakin kecil jumlahnya, ia akan menjadi tidak seimbang dan kemungkinan jumlah serangga bertambah.
"Bukan sahaja ular kekurangan makanan, malah ia akan menimbulkan masalah lain pula seperti penyakit pembawaan serangga akibat jumlahnya tidak terkawal," katanya yang suka bermain dengan katak seawal usia lima tahun.
Ujarnya, bilangan serangga perosak akan meningkat dan memusnahkan tanaman sekali gus menyebabkan penggunaan racun perosak secara berleluasa hingga menyebabkan lebih banyak hidupan akuatik mati.
"Populasi serangga pembawa penyakit akan meningkat dan ini akan menyebabkan penyakit seperti denggi dan malaria juga akan meningkat.
"Banyak haiwan pemangsa katak dalam rantaian makanan akan berkurangan seperti ular, burung hantu dan lain-lain," katanya.
Agen kawalan biologi
Pasti ramai yang tidak mengetahui bahawa kedua-dua amfibia tersebut penting sebagai agen kawalan biologi.
Ini dapat dilihat pada tahun 1987, negara India telah mengharamkan pengeksportan katak selepas penurunan populasi katak tempatan secara drastik hingga mengakibatkan populasi nyamuk dan jangkitan malaria meningkat.
Petani pula terpaksa menggunakan racun serangga untuk mengawal populasi serangga perosak tanaman.
Kajian mendapati 1,000 ekor Katak Cengkerik Utara (Acris crepitans) makan empat hingga lima juta antropoda yang kebanyakannya ialah serangga setahun. Hasil kajian itu membuktikan bahawa katak juga merupakan agen kawalan biologi yang penting.
Haiwan dua alam itu yang larvanya hidup di dalam persekitaran akuatik dan apabila dewasa hidup di daratan akan mengalami kesan negatif jika kedua-dua persekitaran iaitu akuatik dan daratan mengalami perubahan serta degradasi.
Kehadiran haiwan dua alam berkenaan juga boleh dijadikan indikator biologi terhadap pencemaran dan perubahan ekosistem di habitatnya.
Sumber protein
Mungkin ia sesuatu yang mengejutkan, tetapi manusia telah menjadikan haiwan ini sebagai salah satu sumber protein sejak ribuan tahun yang lalu.
Maka, tidak hairanlah apabila kaki belakang katak menjadi hidangan eksotik yang semakin mendapat permintaan tinggi kini.
Perancis merupakan negara pengimport katak terbesar iaitu sebanyak 2,500 tan hingga 4,000 tan katak diimport ke negara tersebut setiap tahun, manakala Indonesia ialah negara pengeksport katak utama dunia dengan bekalan 5,000 tan katak yang siap diproses ke Perancis, Belgium dan Luxembourg.

KEMEROSOTAN bilangan katak dalam ekosistem akan menyebabkan ular tiada sumber makanan.


Sumber ubat-ubatan
Katak beracun Epipedobates tricolor dari Equador, Brazil mempunyai toksin yang mampu membunuh.
Sungguhpun begitu, toksinnya diekstrak untuk mendapatkan sebatian epibatidine bagi tujuan penghasilan ubat tahan sakit yang lebih efektif daripada morfin.
Kini, populasi amfibia tersebut semakin menyusut di seluruh dunia berikutan terlalu sensitif terhadap perubahan persekitaran hingga diancam kepupusan.
Beberapa sebab utama kepupusan haiwan itu telah dirungkai oleh saintis. Antara sebab-sebabnya termasuklah penebangan hutan dan penambakan kawasan bencah yang boleh memusnahkan keseluruhan habitat semula jadi katak.
Dalam pada itu, pencemaran bahan kimia seperti baja dan racun perosak boleh menyebabkan kecacatan fizikal katak ditambah pula dengan kehadiran penyakit serta parasit bawaan bakteria, virus dan chytrid fungus yang menyebabkan kematian amfibia tersebut secara besar-besaran.
"Dalam masa 100 tahun ini, lima spesies katak pupus sepenuhnya. Lebih 300 spesies sudah diancam kepupusan, manakala 37 spesies sudah tiada dalam habitat liar dan cuma dibiak dalam kaptiviti (kurungan)," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: