Sunday, April 7, 2013

Jump-p serpihan band 90-an


DARI kiri: Bard, Yan, Oney, Boy Razak dan Lee.


SEMANGAT daripada beberapa grup rock yang popular di era 1980-an dan 1990-an kekal meresap dalam jiwa ahli-ahli kumpulan ini.
Pengalaman mereka bersama kumpulan-kumpulan seperti May, Lipanbara, Handy Black, Scandal, EYE, AXL's dan Doubleline mematangkan kumpulan Jump-p.
Boleh dianggap serpihan daripada grup-grup yang pernah popular itu, Jump-p mula menggabungkan ahli-ahlinya sejak 2003.
"Biarpun masing-masing berada dalam grup berbeza sebelum ini, namun saya berjaya mengumpul kesemua mereka.
"Kami pernah menghasilkan sebuah album pada 2006 berjudul Halusinasi, tetapi gagal menjadi hit," ujar Oney yang juga merupakan vokalis grup tersebut.
Jump-p turut disertai oleh Boy Razak sebagai pemain keybod, Bard (bass), Lee (dram), Yan (gitar), Xul (gitar).
Sambil mengenepikan kegagalan lalu, Jump-p tampil dengan sebuah album terbaharu pada tahun ini yang berjudul Wujud.
Album tersebut mengandungi sepuluh buah lagu termasuklah yang berjudul Wujud, Moga Sempurna, Mitos Saka, Sangkala Awal Sangkala Akhir dan Power Of Nature.
"Benar, trend sekarang penyanyi menghasilkan lagu dalam bentuk single, tetapi kami ada strategi sendiri biarpun sedar bahawa tidak mudah untuk menjual album.
"Album ini boleh dikatakan sebagai usaha untuk menjenamakan Jump-p agar dikenali pendengar. Lagipun pada kami bersama kumpulan sebelum ini adalah zaman orang menghasilkan album penuh," kata Oney yang pernah berduet dengan penyanyi Safura dalam lagu Jangan Menangis Sayang.
Mempertaruhkan lagu-lagu bergenre power metal, Jump-p memperjuangkan karya seni daripada kombinasi unik antara simfoni muzik rock barat serta melodi dan lirik kemelayuan.
Begitu jelas bahawa grup yang bernaung di bawah syarikat pengurusan SMY Event & Promo benar-benar bercita-cita tinggi untuk menembusi pasaran eropah apabila hal tersebut tersenarai dalam perancangan masa depan mereka.
"Sejurus album ini diedarkan secara alam maya di Facebook (JumpPFanClub) dan pelbagai jaringan laman sosial lain, kami berhasrat meluaskan penerimaan pendengar hingga ke seluruh dunia.
"Ia bukan angan-angan kosong kerana beberapa negara seperti Rusia, Ireland, Mexico dan Finland sudah membuka mata dengan kumpulan kami. Semuanya adalah hasil sumbangan laman sosial di internet.
"Beberapa buah lagu kami akan dialih bahasa ke bahasa Inggeris seperti Wujud, Mitos Saka, Marobbuka dan Garisan Terakhir," kata Oney yang pernah menjadi vokalis kumpulan May untuk album Penaklukan pada 1996 dan Keras (1998).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: