Jual stiker melalui Facebook
Nizam dan sebahagian produk jualannya.
Jual stiker melalui Facebook
Nizam (kanan) melayan pelanggan yang membeli secara walk-in di kedainya.
BAGI yang menyukai barangan motosikal dan pakaian yang sukar diperoleh (rare) tetapi berjenama, anda tidak perlu membuang masa mencari di kompleks beli belah.

Kini, dengan hanya duduk di rumah dalam suasana nyaman dan selesa, berhadapan dengan komputer dan melayari laman Facebook, anda boleh membuat pelbagai pilihan item yang mana idaman hati.
Daripada topi, kemeja t, kemeja perlumbaan, aksesori motor, rantai kunci, stiker, cermin mata dan sebagainya yang sukar didapati ditawarkan secara online, lengkap dengan harga dan cara untuk membuat pesanan.

Anda hanya perlu membuka akaun Facebook dan mencari Niezam Sticker Man atau Niezam Motorsports untuk memilih barangan yang dikehendaki.

Bagi Shahrul Nizam Mohd Yatim, 38, atau lebih mesra dengan panggilan Nizam, idea menjual barangan tersebut secara online bermula sejak dua tahun lalu.
Langkah pertama yang dilakukan ialah belajar mengendalikan Facebook melalui seorang rakan kerana ketika itu dia masih tidak mahir menggunakan komputer.

Barangan yang dijual ketika itu ialah stiker yang dihasilkannya sendiri, sementara modal bisnes menggunakan wang simpanan.

"Pada ketika itu memang saya tidak tahu apa apa mengenai Facebook. Tetapi berkat kesabaran dan dorongan daripada rakan-rakan, saya belajar mengendalikan bisnes ini dan berjaya melakukannya.

"Alhamdulillah, cuma beberapa hari sahaja item yang diiklankan hampir habis dijual. Ini membuatkan saya berasa seronok dan sekali gus menaikkan semangat untuk terus meniaga secara siber," katanya.

Isteri bantu urus bisnes

Daripada seorang penghantar barangan (despatch), kini Nizam mampu memperoleh pendapatan lumayan setiap bulan hasil daripada perniagaan yang dijalankannya itu.

Dibantu isterinya, Dalila Sharifuddin, 29, Nizam beroperasi di kedai yang disewanya di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara yang menempatkan pelbagai barangan yang unik dan menarik.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, permintaan yang diperoleh daripada pelanggan begitu tinggi kerana produk yang dijualnya sukar diperoleh di pasaran biasa.

"Misalnya kemeja-T berjenama, saya mampu menjual sehingga 1,500 helai dalam tempoh dua bulan. Harga yang ditawarkan juga berpatutan, sesuai dengan kualiti material," katanya.

Dia yang juga dikenali dengan nama Rossi di kalangan rakan-rakannya berkata, penghantaran akan dilakukan setiap hari melalui Poslaju dan barangan akan sampai kepada pelanggan dalam tempoh tiga hari.
"Apa yang penting dalam bisnes online ini ialah kejujuran dan menghargai pelanggan. Biasanya saya akan memberi harga istimewa kepada pelanggan setia atau hadiah misteri kepada pelanggan bertuah," katanya.
Selain melalui siber katanya, pelanggan juga boleh mengunjungi Niezam Shoppe yang terletak di hadapan masjid Kampung SungaiKayu Ara yang dibuka jam 9 pagi sehingga 10 malam setiap hari.
"Saya berhasrat untuk membesarkan kedai ini agar menempatkan lebih banyak barangan dan pelanggan juga selesa untuk membeli belah. Tetapi buat masa ini saya lebih selesa berniaga secara online," katanya.

Mesra, jujur rahsia kejayaan
Ditanya rahsia sambutan memberangsangkan, Nizam memberitahu, kualiti produk dan layanan mesra menjadi keutamaan selain bersikap jujur kepada pelanggan.

"Bisnes online ini bukan mudah terutama untuk meyakinkan pelanggan tentang produk yang kita jual. Alhamdulillah saya mempunyai pelanggan tetap.
"Pernah satu ketika seorang pelanggan memesan 1,000 keping stiker. Kalau nak tempah sekeping pun saya layan juga kalau sanggup tanggung kos penghantaran," katanya sambil tersenyum.

Nizam juga mengambil berat barangan yang diterima pelanggan kerana sekiranya rosak atau pelanggan tidak berpuas hati, barangan tersebut boleh dipulangkan semula kepadanya untuk diganti semula.
"Setakat ini ramai yang berpuas hati dengan produk yang saya jual kerana mereka takkan dapat di tempat lain," katanya.

Mengenai cabaran menceburi perniagaan online, Nizam berkata, secara keseluruhannya tidak banyak kesulitan kecuali ada pelanggan yang agak cerewet selain mendapat tempahan tidak kira masa.
"Ada masanya jam 4 pagi pun ada pelanggan yang bertanya tentang produk, jadi saya perlu melayan pertanyaan demi pertanyaan.

Tidak beli tidak apa, asalkan mereka puas hati," katanya yang boleh dihubungi melalui talian 0178851146 (SMS/WhatsApp).