Sunday, April 7, 2013

Jom Ke Panggung Musim Ketiga Lebih Padat


KUALA LUMPUR: Program Jom Ke Panggung (JKP) merupakan satu-satunya rancangan televisyen tempatan yang memberi fokus secara keseluruhan kepada perkembangan industri filem tempatan bakal bersiaran untuk musim ketiga.
Jelas Pengerusi Filem Nasional (FINAS), Datuk Md Afendi Haji Hamdan, peluang dan kerjasama harus diberikan kepada rancangan-rancangan seumpama ini demi memartabat dan memajukan industri filem tempatan.”
“Ini selari dengan hasrat kerajaan memajukan sektor industri filem. Malah program-program televisyen seperti JKP bukti sokongan terhadap dana yang diperuntukkan kerajaan untuk industri perfileman tanahair setiap tahun,” katanya.
Berbeza dengan dua musim sebelum ini, JKP 2013 menjanjikan nafas baru; lebih bertenaga dan padat dari segi pengisian informasinya. Atas persetujuan antara RTM dengan Fantasy Films Sdn Bhd, tiga segmen baru bakal diperkenalkan, iaitu Legasi Panggung, Fakta Panggung dan Selidik Panggung.
Pengarah Fantasy Films, Jasman Kammin berkata, Idea segmen Legasi Panggung tercetus atas kesedaran bahawa ramai pelakon, pengarah atau penerbit yang bertumpu kepada industri filem sebagai kerjaya, meneruskan legasi masing-masing dengan memperkenalkan ahli keluarga bagi bersama-sama memartabatkan industri yang di ceburi.
“Pepatah ‘Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’ cukup memberi gambaran jelas tentang industri filem kita. Contohnya, keluarga Dato’ Yusof Haslam yang legasinya diteruskan oleh anak-anaknya, Shamsul Yusof dan Muhamad Syafiq Yusof. Bagi Dato’ Hussein Abu Hassan pula, legasinya adalah Faizal Hussein yang meraih gelaran Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25, sementara Shaheizy Sam mewarisi bakat ibu dan kakaknya, dan banyak lagi.”
Mengulas lanjut, katanya segmen ini bertumpu kepada bakat, minat dan titik mula penglibatan mereka di dalam industri perfileman.
JKP turut mengekalkan pengacara dua musim terdahulu, Nasarudin Habibur Rahman atau lebih dikenali sebagai Naz, yang berperwatakan ceria dan bersahaja. Keupayaannya selain persembahan mantap, mampu mengikat semua segmen dalam JKP.
Pencapaian JKP Musim 1 dan Musim 2 cemerlang sehingga mencatat hampir satu juta penonton.
Justeru, Fantasy Films Sdn Bhd sekali lagi diberi kepercayaan meneruskan kesinambungan JKP bagi menghasilkan 26 episod seterusnya untuk siaran 2013.
Program ini akan bermula pada 7 April ini, setiap Ahad pukul 10 malam di TV2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: