Saturday, April 6, 2013

Jojo Struys Jadi Tempat Orang Luah Perasaan

Jojo Struys gembira dapat membantu golongan yang mempunyai masalah tekanan jiwa.
PETALING JAYA: Pengacara Jojo Struys berasa selesa apabila dia dijadikan tempat luahan perasaan oleh individu yang tidak dikenalinya.
Jojo atau nama sebenarnya Jeannette Struys, 37, berkata, perkara itu sering berlaku sejak dia kecil lagi, namun pengalaman tersebut membuatkan dia teruja untuk membantu mengurangkan tekanan mereka yang memerlukan.
"Bayangkan ketika berusia 16 tahun lagi saya didatangi seorang wanita tua menceritakan masalahnya dengan suami kepada saya dan keadaan itu membuatkan saya berasa pelik.
"Keadaan seperti itu kerap berlaku di mana saya didatangi pelbagai jenis orang yang ingin berkongsi masalah dengan saya termasuklah beberapa selebriti di negara ini.
"Mula-mula saya agak pelik, namun ia membuatkan saya berfikir, mungkin saya boleh membantu mengurangkan sedikit tekanan yang dialami mereka," katanya.
Jojo buat kali kedua muncul dengan sebuah album berbentuk meditasi berjudul, 'Letting Go with Jojo Struys Vol 2'.
Tambah Jojo, ia juga salah satu cara untuk dia membuat kebajikan kepada orang ramai secara tidak langsung.
Dalam pada ujarnya, sebagai penulis undangan dengan akhbar The Star, ramai juga individu yang datang kepadanya untuk berkongsi masalah penyakit insomnia dan meminta dia membantu mengurangkan tekanan tersebut.
Dan kerana itu, Jojo buat kali kedua muncul dengan sebuah album berbentuk meditasi berjudul, Letting Go With Jojo Struys Vol 2.
"Jika album pertama saya hanya memuatkan sebanyak enam trek muzik berunsur ketenangan, kali ini saya memuatkan 12 trek pula, khas buat para peminat.
"Malah saya turut memasukkan muzik khas buat individu yang mempunyai masalah insomnia. Ini kerana saya mendapati ramai orang sebenarnya berdepan dengan masalah itu," ujarnya.
Menerusi album tersebut, Jojo mengajak pendengar memejamkan mata dan melepaskan semua bebanan masalah dengan selingan muzik meditasi.
Beritahu Jojo, apabila pendengar mengikut panduan yang diberi seperti cara pernafasan yang betul, ia sekali gus dapat melancarkan aliran darah seseorang.
“Berikan sedikit masa pada diri, 15 minit pun cukup, ia dapat memberikan kesan seolah-olah kita tidur selama dua jam.
"Beginilah yang saya lakukan untuk menghilangkan tekanan. Mungkin kita tidak sedar tetapi jika kita mempunyai masalah, kita perlu segera lepaskannya.
"Jika kita sukar berkongsi dengan orang lain, mungkin dengan cara berfikir, bertenang dan bercakap dengan diri sendiri, ia dapat mengurangkan stres,” ujarnya.
Tambah Jojo, album tersebut boleh didapati di 124 cawangan Starbucks seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: