Wednesday, April 10, 2013

Jimmy Shanley bakal kahwin tahun ini

TINGGAL kenangan. Jimmy dan Nursuhaila ketika bergelar suami isteri.


SELEPAS hampir dua tahun turun naik mahkamah berhubung kes tuntutan penjagaan anak perempuan tunggal mereka, akhirnya keputusan telah dibuat pihak mahkamah.
Itu penyelesaian muktamad terhadap kemelut yang melanda Jimmy Shanley dan bekas isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy.
Hos dan pelakon tersebut diberikan hak lawatan dan bermalam dengan anaknya, Zahra Rania Shanley manakala bekas isterinya itu mendapat hak penjagaan penuh anak perempuan berusia setahun sembilan bulan itu.
Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam itu, Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 33, tidak terkilan sebaliknya bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk berjumpa dengan anaknya.
Sementara itu menurut Jimmy, dia mahu menamatkan zaman dudanya secepat mungkin dan jika tiada aral melintang pada lewat pertengahan tahun ini.
Mengimbas kembali kronologi kemelut rumah tangga pasangan itu, Jimmy dan Nursuhaila mengakui mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010 iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai pada 10 Oktober tahun lalu secara tebus talak (khuluk) dengan nilai ganti rugi RM1.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama pengacara Trek Selebriti berhubung perancangannya selepas ini.
Kosmo!: Komen Jimmy mengenai keputusan mahkamah mengenai hak penjagaan anak yang berpihak pada bekas isteri?
JIMMY SHANLEY: Alhamdulillah, keputusan yang telah diputuskan oleh pihak mahkamah adil dan saya pun dibenarkan berjumpa dengan anak saya sekurang-kurangnya tiga hari seminggu. Saya teruja tahun ini dapat beraya bersama Zahra. Saya tidak terkilan dan keputusan ini saya terima dengan hati yang terbuka. Berdasarkan pemahaman saya, memang susah untuk pihak lelaki memenangi kes penjagaan anak.
Adakah Jimmy sudah mempunyai perancangan untuk anak pada masa hadapan?
Saya tidak mahu terlalu berfikir terlalu jauh takut nanti tidak tercapai. Asalkan saya masih diberikan peluang untuk berjumpa dengan anak pun sudah cukup memadai sebenarnya.
Adakah Jimmy sudah mempunyai atau mencari pengganti?
Saya sudah menduda tujuh bulan, tak laku dan suam-suam kuku pula. Saya ada berkawan dengan beberapa orang wanita tapi saya sebenarnya seorang yang pemalu. Mungkin saya tunggu mak cik-mak cik yang mahu menjadikan saya menantu dan saya terima dengan hati terbuka (ketawa).
Saya ada mengenali beberapa orang tapi sekadar peringkat berkawan. Lebih afdal sebenarnya kalau orang tua yang perkenalkan atau jodohkan.
JIMMY bersyukur tetap diberi peluang berjumpa anaknya ini.


Perancangan kehidupan peribadi selepas ini?
Saya mahu berehat dan InsyaAllah mahu berkahwin tahun ini jika dipertemukan jodoh sebab mahu mendapatkan anak lagi. InsyaAllah sebelum Aidilfitri tahun ini.
Adakah Jimmy serik dengan alam perkahwinan?
Saya menjadi lebih matang menghadapi kehidupan dan jika ada jodoh baharu saya akan lebih memperbaiki diri dan memahami isteri saya. Saya berikan dia kebebasan untuk melakukan apa saja yang dia mahukan, kalau larang pun orang akan buat juga. Perasaan sekarang lebih rileks dan tidak tergopoh-gapah.
Saya tidak mahu perkara ini diperbesarkan lagi atau timbul pergaduhan pada masa akan datang dan saya mendoakan agar bekas isteri saya bertemu dengan individu yang lebih mulia.
Maksud Jimmy mahu memperbaiki diri?
Perbaiki diri maksud saya dari segi lebih merapatkan diri dengan Allah, menjaga solat dan belajar ilmu-ilmu agama. Saya tidak kisah rupa paras kalau ada jodoh untuk kahwin saya tidak mahu kenduri yang besar-besar.
Adakah Jimmy akan lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup selepas ini dan iktibar daripada perkahwinan sebelum ini?
Paling penting, saya tidak menyalahkan sesiapa tapi kesilapan lalu datang daripada diri saya sendiri. Siapa saya untuk menghakimi orang lain dan kita hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan. Saya tidak putus asa untuk terus merancang tapi pucuk pangkalnya, berbalik pada agama.
Apakah perkembangan terkini Jimmy?
Buat masa sekarang saya hanya terbabit menjadi penyampai di stesen radio UFM yang baru berusia tiga bulan penubuhannya. Selain itu tinggal lagi sebulan untuk saya menamatkan pengajian dalam bidang sarjana Pengurusan dan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara Shah Alam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: