Thursday, April 18, 2013

Imej definisi tinggi terbaik Canon


5D MARK III terbaharu antara kamera DSLR terbaik keluaran Canon.


MASIH mengekalkan 36 x 24 milimeter sensor CMOS bingkai penuh, kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) Canon EOS 5D MARK III ternyata mempunyai kelebihan tersendiri berbanding Canon EOS 5D MARK II.
Perbezaan kedua-dua kamera siri 5D itu jelas daripada aspek binaan megapiksel dan kepekaan sensiviti terhadap dedahan cahaya (ISO) yang telah dinaik taraf.
Dengan binaan megapiksel 22.3, 5D MARK III merupakan antara DSLR yang mampu menghasilkan imej definisi tinggi terbaik keluaran Canon tidak kira sama ada dalam mod video mahupun fotografi.
Bagi penggunaan ISO pula, 5D MARK III telah diperluaskan hingga ke ISO 25,600 berbanding 5D MARK II iaitu 6,400. Selain itu, ISO bagi kamera ini juga boleh diperluaskan sehingga mencecah ISO 102,400.
Fungsi mod Auto ISO turut diperkenalkan dalam siri 5D terbaharu yang memberi kebebasan kepada jurugambar untuk mengambil gambar dengan jelas walaupun dalam situasi cahaya yang sedikit.
Fungsi sistem AF 5D MARK III juga merupakan salah satu faktor utama ia lebih baik daripada siri yang sebelumnya. 5D MARK III direka dengan sistem 61 point reticular berketumpatan tinggi dan ia merupakan teknologi yang sama digunakan dalam DSLR terbaik buatan Canon iaitu EOS-1D X.
Dengan peningkatan sistem AF, ia memudahkan jurugambar mengambil gambar potret dan sesuatu subjek yang bergerak. Selain itu, sistem AF yang dibina dalam 5D MARK III juga sesuai untuk fotografi sukan, aksi dan hidupan liar.
Bagi jurugambar yang meminati ciri-ciri kreatif dalam karya fotografi anda, 5D MARK III merupakan kamera yang wajib dicuba.
Dengan mod High Dynamic Range (HDR), penggabungan tiga gambar yang mempunyai dedahan cahaya berbeza akan menghasilkan imej yang mempunyai struktur cahaya lebih terang dan berwarna-warni.
Selain itu, kamera tersebut juga boleh menghasilkan teknik tindihan yang memberikan imej lebih artistik dengan kelajuan enam bingkai setiap saat (fps).
Pakej DSLR 5D MARK III turut disertakan dengan lensa EF 24-105 milimeter f/4L IS USM. Lensa itu diklasifikasikan sebagai lensa pelbagai guna kerana ia boleh digunakan dalam apa sahaja keadaan termasuk jarak dekat dan jauh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: