Hafreez Adam
Hafreez Adam
Tidak pernah terfikir melibatkan diri dalam bidang lakonan, bakat baru, Hafreez Adam, 23, tidak menyangka bakat lakonannya kini semakin menjadi perhatian. Menurut Hafreez, penglibatannya dalam bidang lakonan bermula pada 2012 ketika dia mula menjinakkan diri dalam bidang peragaan.

“Ketika itu saya ada melibatkan diri dalam projek yang dianjurkan juru foto terkenal, Annas Eskay dan paling manis saya terpilih sebagai pemenang.

“Selepas itu atas cadangan teman rapat, saya turut ambil bahagian dalam pencarian Hero Remaja tahun lalu, tapi saya hanya berjaya menempatkan diri sebagai top 12,” katanya kepada Zass.

Kata Hafreez, ketika menjalani latihan sebagai peserta Hero Remaja, pelbagai input mengenai bidang lakonan dipelajarinya sehingga minat terhadap kerjaya seni itu timbul.

“Selepas tamat menjalani latihan selama sembilan bulan, saya terus diberi tawaran berlakon dalam drama siri Tanah Merah terbitan Filemscape di saluran NTV7. Awal Januari, saya sudah mula berlakon dan apabila tamat drama itu, saya mula dengan drama baru Kisah Cinta yang kini ditayangkan di TV3.

“ Mungkin sudah tertulis rezeki saya dalam bidang lakonan lebih menyebelahi diri saya dan walaupun masih baru, terlalu banyak perkara baru yang saya sudah pelajari dan berharap kemunculan saya dalam industri ini dapat diterima dengan baik,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hafreez kini sedang menjalani penggambaran telemovie berjudul Berkalung Rahmah yang akan bersiaran di Astro Oasis sempena sambutan Hari Ibu, Mei ini.

Tak pilih watak

Mengimbas kembali karier lakonannya yang masih berusia empat bulan, anak jati Kuala Lumpur, ini akui merasa bertuah kerana bakatnya dilihat penerbit dan pengarah. Menurut Hafreez, sebagai pelakon baru, dia akan melakukan yang terbaik supaya tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Alhamdulillah, walaupun masih baru, namun saya diberi kepercayaan memegang watak yang berbeza. Saya akui tidak semua pendatang baru memiliki peluang seperti saya dan apa yang mampu saya lakukan untuk membalas jasa mereka adalah berikan yang terbaik,” luahnya.

Bertanyakan sasarannya terhadap bidang lakonan, Hafreez memberitahu dia memiliki fokusnya yang tersendiri untuk tahun pertama dia bergelar pelakon.

“Sama seperti pelakon lain, saya juga ada beberapa sasaran untuk dicapai dalam bidang ini. Selain mahu terima anugerah, fokus saya tahun ini adalah untuk melakonkan watak idaman saya iaitu watak psiko. Saya tidak kisah kalau watak itu kecil, apa yang penting saya mahu lakonkan watak itu dengan baik,” jelasnya.

Persaingan sengit

Menyentuh mengenai persaingan semakin membanjiri industri hiburan kini, Hafreez bagaimanapun yakin dengan bakat dan rezeki. Menurutnya, walaupun persaingan menyukarkan perjalanannya sebagai pelakon baru, namun dia memandang positif.

“Kalau bercakap mengenai persaingan, sejak melibatkan diri dalam Hero Remaja lagi saya sudah merasai perkara itu. Menang persaingan dalam bidang ini semakin sengit.
“Tapi saya tidak mahu terlalu memikirkannya, lebih baik saya fokus hala tuju saya dan baiki kelemahan,” katanya.