Ibu sakit, rindu anak lelaki merajuk
Ab Rahim menunjukkan gambar Hafizul yang dirakam kira-kira lima tahun lalu.
BESUT - Seorang ibu merayu anak lelakinya, Hafizul Che Mat, 28, pulang ke pangkuan keluarga selepas lima tahun menghilang diri tanpa sebarang berita.

Bapa tiri Hafizul, Ab Rahim Ab Rashid, 48, berkata, isterinya, Siti Fatimah Abdullah, 46, kini amat merindui anak keduanya itu selepas tidak pulang ke rumah sejak 2008.

Menurutnya, kesihatan isterinya kini terjejas akibat amat merindui Hafizul yang gagal dihubungi malah usaha mencarinya di merata tempat tidak berhasil.

“Kali terakhir Hafizul dikatakan bekerja sebagai pembantu kedai makan di sebuah restoran di Johor Bahru, Johor namun setelah mencari dia didapati tidak bekerja di situ lagi,” kata Ab Rahim yang membela Hafizul sejak berusia 2 tahun lagi.

Ab Rahim berkata lagi, anaknya yang bekerja di sana sejak 2005 dipercayai merajuk selepas ibunya melarang dia membawa pulang calon isteri ke rumah pada 2008.

Menurutnya, ibunya hanya menasihatkannya secara baik agar tidak membawa pulang calon pilihan hatinya lagi buat masa itu.

Namun katanya, sejak itu Hafizul tidak dapat dihubungi dan dikesan hingga sekarang meskipun  pelbagai usaha mencari dilakukan.

“Bagaimanapun kami percaya dia masih berada di Johor. Sehubungan itu saya merayu dia pulang ke pangkuan keluarga dan menerima sahaja pilihan hatinya memandangkan ibu amat merinduinya,” katanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu dekat Kuala Besut, di sini.
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Hafizul boleh menghubungi Ab Rahim  menerusi talian 013- 9953677.