Thursday, April 18, 2013

Harlem Shake selebriti antarabangsa


SELEBRITI Indonesia Irwansyah, Zaskia dan Shireen Sungkar tidak terlepas merakamkan Harlem Shake versi mereka.


FENOMENA Harlem Shake bukan sahaja mempengaruhi selebriti tempatan untuk sama-sama mengecap populariti selama 30 minit melakukan aksi-aksi lucu, bahkan tempias itu turut dirasai selebriti popular antarabangsa.
Ternyata Harlem Shake bukan sahaja menjadi trend kepada penduduk dunia sekarang ini, malah ia merupakan kaedah eskapisme terbaik untuk mengurangkan tekanan.
Tidak dinafikan juga taktik merakam video Harlem Shake oleh golongan selebriti mampu menarik perhatian peminat atau penonton sesebuah rancangan.
Antara selebriti luar negara yang merakamkan video Harlem Shake adalah penyanyi Azealia Banks, Cody Simpson dan Ed Sheeran, personaliti televisyen Ryan Seacrest, Jon Stewart, Stephen Colbert serta pelakon-pelakon daripada sitkom 21 & Over dan Happy Endings.
Turut tidak terkecuali bintang drama seram Supernatural, Jared Padalecki dan Jensen Ackles. Terbaharu, juri-juri rancangan realiti TV popular, Britain's Got Talent turut terbabit dengan rakaman video Harlem Shake.
Harlem Shake turut melanda industri hiburan Indonesia dengan menampilkan beberapa selebriti popular seperti Syahrini, Maia, Zaskia Sungkar, Shiren Sungkar dan Irwansyah.
Ryan Seacrest
Pengacara American Idol, Ryan Seacrest terbabit dalam rakaman sebuah video Harlem Shake bersama sekumpulan kakitangan di sebuah pejabat. Video dimulakan dengan seorang penari berpakaian pejabat sementara masing-masing sibuk melakukan tugasan termasuk Ryan yang sedang bercakap melalui telefon.
Jared Padalecki & Jensen Ackles
Pelakon utama drama bersiri Supernatural Jared Padalecki dan Jensen Ackles turut merakamkan sebuah video Harlem Shake mereka. Video itu dimulakan dengan Jensen menari secara rambang di sebuah lokasi penggambaran manakala Jared sedang bercakap-cakap menerusi telefon di belakang Jensen. Tarian itu disusuli dengan pelakon lain dan kru produksi.
Ed Sheeran
Penyanyi kelahiran England, United Kingdom ini terlibat dengan rakaman video Harlem Shake ketika diundang sebagai tetamu rancangan dalam sebuah rancangan bual bicara. Turut beraksi dalam video yang dimuat naik pada 15 Februari itu, pelakon Malcolm in the Middle, Frankie Muniz.

GAYA tersendiri Ryan Seacrest (kiri) melakukan Harlem Shake.


Jon Stewart
Video yang menampilkan hos rancangan The Daily Show, Jon Stewart menari Harlem Shake telah dimuat naik pada 20 Februari lalu. Video itu dirakamkan dalam versi terbalik iaitu Jon memakai sut sambil menari sendirian tanpa dihiraukan oleh kru sekeliling. Kemudian, bahagian kedua lagu itu hanya menampilkan Jon berseorangan menari memakai jubah coklat.
21 & Over
Rakaman video itu dilakukan di sebuah latar set drama sitkom terkenal Amerika Syarikat, 21 & Over. Tarian dimulakan dengan seorang penari berbaju biru sambil beberapa pelakon lain sedang melakukan aktiviti normal. Ia kemudian disusuli dengan tarian beramai-ramai pelakon dan kru lain.
Syahrini & Maia
Tarian Harlem Shake milik kumpulan duo Maia iaitu Maia Estianty dan Mey Chan itu dirakam spontan bersama penyanyi terkenal Syahrini yang ketika itu ada bersama mereka. Maia memakai penggulung rambut dan mengenakan baju bercorak harimau bintang manakala Syahrini memakai sepasang peplum dan meletakkan tudung saji di kepalanya.
Irwansyah
Video Harlem Shake itu dirakamkan oleh sekumpulan artis Indonesia di sebuah ruang menonton dan rakaman itu dimulakan dengan Fabi menari berseorangan. Kemudian tarian itu disertai oleh Irwansyah, Zaskia, Rani Ramadhany, Shireen Sungkar, Ivan Maulana dan Nathasia Maharani.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: