Monday, April 15, 2013

Gigih kumpul aset

FARA menafikan dia telah bergelar jutawan berdasarkan banyak kemenangan yang diperolehnya.


TIDAK dinafikan daripada segi luaran, Fara atau nama sebenarnya Fara Fauzana Mohd. Fadzil seorang yang berjaya. Pada usia 33 tahun, namanya berada di puncak sebagai penyampai radio serta pengacara televisyen popular sejak menceburi bidang radio pada tahun 2004.
Bukan itu sahaja, selain turut bergelar pelakon, Fara juga memiliki beberapa cabang perniagaan seperti Fafau Entertainment, Rojak Box dan homestay. Melihat kesibukan Fara, sudah pasti ramai yang beranggapan Fara hidup dalam kemewahan.
Bagaimanapun, ujar Fara rezeki yang diterima hari ini tidak digunakan untuk dirinya seorang sahaja, sebaliknya dikongsikan bersama keluarganya.
"Niat utama saya mula-mula bekerja adalah untuk membantu ibu bapa mengurangkan beban mereka seperti selesaikan segala hutang-hutang yang mereka ada. Mereka berhutang pun sebab hantar saya sambung belajar selain saya juga mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap adik-beradik yang lain.
"Alhamdulillah, sekarang saya sudah ada beberapa perniagaan seperti Fafau Entertaiment. Walaupun tidak menguruskan artis lain selain diri saya, tetapi syarikat itu berjalan dengan baik. Saya juga selalu mengadakan kolaborasi bersama syarikat Darling Ngasri untuk menerbitkan drama.
"Homestay pula, telah saya usahakan sejak beberapa tahun lalu dan bulan lepas saya baru sahaja membuka perusahaan makanan iaitu Rojak Box di KL Sentral yang saya kongsi bersama rakan saya," ujarnya tentang aset yang dimilikinya kini.
Disoal selama bekerja keras dalam bidang penyiaran dan perniagaan adakah kini Fara boleh digelar seorang jutawan, Fara hanya ketawa sebelum menjawab.
Ujarnya: "Orang lain mungkin lihat saya hidup mewah, tetapi mereka tidak faham. Mungkin pendapatan yang saya terima agar besar jumlahnya, tetapi dalam masa yang sama saya juga mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap keluarga.
"Jujur saya katakan, saya belum ada aset untuk bergelar seorang jutawan. Jika saya menggunakan semua pendapatan untuk diri saya seorang, ya mungkin saya sudah bergelar jutawan sekarang ini. Setakat ini, saya masih perlu bekerja keras setiap hari untuk menjadi jutawan."
Bercakap mengenai populariti, akui Fara dia mula terasa tempias populariti sejak menjadi pengacara program Melodi. Sejak itu, kehidupannya sedikit berubah apabila wajahnya semakin dikenali ramai.
FARA akan kembali ke pentas teater menerusi Teater Nyonya & The Gang pada 14 Jun ini.


"Saya mula rasa popular sejak menjadi pengacara program Melodi. Saya tidak pernah nafikan orang kenal saya kerana program itu dan kebetulan pada waktu yang sama, saya juga muncul di program yang lain serta beberapa buah drama," balasnya.
Tambahnya lagi, bakat bercakap yang dimilikinya digunakan sebaik mungkin. Bukan itu sahaja, dirinya yang sesuai untuk pelbagai majlis juga dirasakan antara penyumbang kepada kejayaannya hari ini.
"Apabila saya bercakap, tidak kiralah di radio atau di mana-mana sahaja, saya akan fikirkan yang saya bercakap untuk semua orang tidak kira peringkat umur atau status. Jika orang minta saya jadi pengacara untuk majlis di luar bandar, saya akan bercakap macam orang kampung, kalau diminta untuk majlis yang dihadiri golongan urban saya akan bercakap ikut cara mereka.
"Saya juga sering menjadi pengacara untuk majlis korporat. Maknanya saya mempunyai peminat daripada pelbagai lapisan usia. Semua acara di mana sahaja, semuanya saya boleh masuk. Jadi, sebelum buka mulut saya harus berfikir terlebih dahulu," katanya.
Plihan pertama
Sudah bergelar penyampai radio, pengacara dan pelakon popular, disoal bidang manakah yang menjadi pilihan utamanya, Fara tidak mengambil masa yang panjang untuk menjawab.
"Radio," katanya ringkas sebelum menjelaskan menjadi penyampai radio merupakan kerjaya untuk tempoh masa yang panjang berbanding pengacaraan dan berlakon.
"Orang tidak kisah saya tidak cantik, gemuk atau tidak pandai fesyen kerana mereka hanya ingin mendengar suara saya sahaja.
"Kalau berlakon, sudah tua atau tidak menepati pasaran, sudah tidak ada tawaran lakonan. Jadi, bekerja di radio merupakan pilihan terbaik saya, lagipun saya bermula dengan radio, jadi cinta pertama saya sememangnya di radio," jelasnya.
Balasnya lagi, dia tidak pernah merasa penat bekerja kerana dia melakukan kerja yang diminati.
Meskipun sudah berjaya, Fara masih menyimpan impian terbesarnya yang telah dirancang sejak dua tahun yang lalu. Jika tidak aral melintang, impiannya itu pasti akan dilaksanakan pada tahun ini.
"Perancangan masa depan saya untuk memberi kembali kepada masyarakat menerusi kerja amal. Sudah dua tahun saya rancang, tetapi untuk buat sesuatu kepada masyarakat, saya kena rancang dengan betul sebab itu ia mengambil masa yang agak lama.
"Fokus saya ialah warga emas dan kanak-kanak. Apa yang saya miliki hari ini bukan milik saya seorang, jadi saya harus berkongsi dengan orang yang memerlukan. Sudah menjadi tugas saya untuk membantu. Harapan saya agar tahun ini saya dapat laksanakannya," ujar Fara tentang impiannya itu.
FARA mempunyai impian untuk berbakti dan berkongsi harta sepencariannya dengan warga emas dan kanak-kanak.


Mangsa fesyen
Sementara itu, jika diperhatikan, setiap kali Fara muncul pada majlis anugerah, ada sahaja kritikan yang diterimanya berkenaan dengan fesyen yang digayakannya. Contohnyan ketika Fara menjadi pengacara Anugerah Bintang Popular baru-baru ini, daripada empat helai pakaian yang disarungnya, pasti salah satunya ada yang tidak kena pada mata pengkritik.
Mengakui tidak pandai berfesyen, tetapi itu tidak bermakna Fara tidak berusaha untuk kelihatan cantik ketika berada di majlis besar ataupun kaca televisyen.
"Masalah fesyen dan Fara sangat berkawan baik (ketawa). Sebenarnya saya sudah sampai tahap tidak kisah tentang fesyen. Masalah pakaian juga berlaku ketika saya menjadi pengacara Melodi.
"Saya sedar yang diri saya bukanlah seorang model, sebab itu saya malas untuk bercakap tentang pemilihan pakaian. Jika saya bercakap banyak, nanti orang akan melabel diri saya seorang diva pula," balasnya.
Tidak berputus asa, kata Fara, dia hanya boleh mencantikkan pakaian yang disarungnya dengan bahasa pertuturannya sahaja.
"Untuk mengalih perhatian khalayak terhadap fesyen yang saya gayakan, apa yang saya lakukan adalah tenggelamkan masalah pakaian itu dengan gaya pertuturan saya.
"Itu sahaja yang saya mampu lakukan. Kalau pakai cantik-cantik, tetapi tidak pandai bercakap dan jalankan tugas dengan baik pun tidak guna juga. Itu caranya saya motivasikan diri.
"Bagi saya cantik itu sangat universal. Mungkin pada mata sesetengah orang pakaian yang saya pakai tidak cantik dan setengah lagi kata cantik. Saya sangat berusaha untuk kelihatan cantik tetapi saya harus terima hakikat saya bukan model, hanya bakat bercakap saya yang lebih cantik," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: