Tuesday, April 16, 2013

Farniaa yang anggun

BUSANA Farniaa menyerlahkan ciri-ciri wanita muslimah.


PERKEMBANGAN positif fesyen muslimah sejak akhir-akhir ini membawa perubahan kepada tata gaya dan cara pembawaan diri seseorang wanita bertudung. Jika dahulu, pemilihan busana terhad kepada baju tradisional seperti baju kurung atau jubah warna polos. Ini kerana tidak ramai yang berani untuk tampil bergaya moden.
Kebanjiran butik-butik pakaian muslimah juga dilihat kurang mengambil berat tentang perkara-perkara asas yang dituntut syariat Islam. Ada juga busana yang menutup aurat wanita tetapi rekaannya terlalu sendat hingga jelas kelihatan bentuk tubuh mereka.
“Syariat agama perlu diletakkan sebagai perkara utama. Mereka perlu memahami batas-batas pakaian seorang wanita muslimah,” ujar pemilik jenama Farniaa, Hamshiah Hadzir, 35, ketika ditemui Stailo baru-baru ini.
Tambah anak kelahiran Sungkai, Perak itu, ketika memilih busana, orang ramai dinasihatkan untuk mencari rekaan yang sedikit longgar dan tidak mengikut bentuk badan.
“Disebabkan itu, kebanyakan baju-baju yang terdapat dalam jenama kami mempunyai ukuran longgar tetapi masih selesa untuk dipakai ke aktiviti kasual,” jelasnya.
Pemilihan warna amat penting bagi menampakkan keceriaan kepada pesona wanita muslimah. Selain itu, mereka boleh bergaya dengan memilih kontra rona antara baju dan skirt.
“Tudung pula mesti ada warna-warna asas seperti hitam yang boleh dipakai pada anak tudung atau selendang,” ujar Hamshiah.
Busana muslimah keluaran Farniaa mempunyai empat rekaan dengan beberapa pilihan warna menarik. Ia tambah selesa apabila menggunakan kain kapas sebagai fabrik utama.
“Fabrik daripada kain kapas sangat bersesuaian dengan cuaca negara kita. Selain itu, ia menjadikan rekaan nampak cantik dan menarik,” kata Hamshiah.
Tidak perlu risau dengan harga kerana busana muslimah Farniaa berbaloi dengan wang yang dilaburkan. Satu set baju yang merangkumi baju dan skirt berharga tidak lebih RM200.
“Boleh dikatakan harga baju-baju jenama Farniaa berpatutan di samping mempunyai kualiti yang baik,” jelas Farniaa.
Busana Farniaa boleh dikunjungi di tingkat satu di Pusat Beli-belah Subang Parade, Subang Jaya, Selangor atau menerusi penjualan dalam talian, www.farniaa.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: