Thursday, April 18, 2013

Ezany Kecewa Stesen TV Gagal Beri Alasan Namanya Ditolak

Ezany Nizariff
PETALING JAYA: Pelakon Ezany Nizariff kecewa dengan pihak atasan sebuah stesen televisyen kerana gagal memberi alasan kukuh mengapa namanya disenaraihitamkan daripada membintangi sebarang drama untuk siaran di saluran stesen itu.
Ezany, 40, berkata, perkara itu sudah berlarutan sejak setahun lalu apabila panel pemilihan pelakon di stesen berkenaan telah menolak lebih 20 buah drama selepas syarikat produksi mencadangkan namanya dalam karya-karya mereka.
"Sudah hampir setahun perkara ini berlaku dan pihak produksi sering memberitahu saya stesen TV itu tidak mahukan saya sebagai pelakon apabila nama saya dicadangkan.
"Saya hairan kerana sebelum ini masalah itu tidak pernah berlaku," jelasnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Tambah Ezany, dia juga telah bertanyakan hal tersebut kepada pihak stesen televisyen berkenaan namun mereka memberikan alasan yang tidak munasabah kepadanya berhubung masalah itu.
"Antara alasan yang diberikan, wajah saya tidak lagi sesuai untuk program terbitan mereka serta sebab-sebab yang tidak munasabah dan kukuh lain," katanya.
Dalam pada itu, Ezany berkata, perkara itu terjadi mungkin tindakannya mengadu dalam sebuah program hiburan televisyen sebelum ini mengenai sikap sebuah syarikat produksi yang gagal menjelaskan bayaran akhir untuk pelakon dalam sebuah drama siaran stesen televisyen tersebut.
Sejak penyiaran aduan itu kata Ezany, namanya sering ditolak oleh pihak berkenaan setiap kali syarikat produksi menyenaraikan namanya untuk berlakon dalam drama-drama mereka.
"Selepas saya membuat aduan dalam program itu, pihak produksi yang menimbulkan masalah soal bayaran telah menjelaskan hutangnya tetapi lain pula yang berlaku apabila nama saya disenaraihitamkan oleh stesen TV berkenaan pula," jelasnya.
Tambah Ezany, dia masih berharap untuk berbincang dengan pihak berkenaan supaya salah faham yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.
Sementara itu, Ezany turut terkilan apabila aduannya itu kepada Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) iaitu Zed Zaidi tidak diambil tindakan.
Dalam perkembangan lain, Ezany berkata dia kini sibuk menguruskan perniagaannya dan baru sahaja membuka sebuah lagi kilang kicap dan belacan yang diusahakannya di Pahang.
"Apabila telah berada di dalam industri selama 12 tahun minat berlakon itu tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja walaupun sibuk dengan perniagaan.
"Saya berharap perniagaan kicap dan belacan saya juga akan terus berkembang," katanya yang baru sahaja menerima cahaya mata kedua, Hayden Harraz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: