Monday, April 8, 2013

Enam pondan, lelaki homoseks berpeleseran ditahan


SEORANG pondan berpakaian tidak senonoh yang ditahan di Taman Tasik Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur malam kelmarin.


KUALA LUMPUR - Keghairahan sekumpulan pondan dan lelaki homoseks yang berpeleseran untuk mencari pasangan di sekitar Taman Tasik Permaisuri di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini berakhir kekecewaan apabila enam daripada mereka ditahan dalam satu operasi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) awal pagi semalam.
Penguasa Penguat Kuasa DBKL, Mohd. Hisham Izhar berkata, operasi yang dijalankan bermula kira-kira pukul 1.30 pagi itu turut diperkuatkan oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Unit Kuat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K).
Katanya, sepanjang operasi selama tiga jam itu, enam pondan berumur lingkungan 25 hingga 31 tahun telah ditahan mengikut Undang-Undang Jenayah Syariah kerana berpakaian tidak senonoh di tempat awam.
"Saya difahamkan, golongan tersebut sering datang ke kawasan tersebut untuk melepak dan tidak menyedari sekatan jalan raya yang dijalankan pihak kami di kawasan itu.
"Setelah ditahan, pegawai Jawi telah meminta dokumen pengenalan diri mereka dan selepas diperiksa, mereka merupakan lelaki yang berpakaian wanita. " katanya ketika ditemui selepas operasi berakhir.
Selain golongan pondan, dua lelaki berusia 20-an ditahan atas kesalahan mabuk manakala dua lagi lelaki masing-masing turut ditahan kerana memalsukan cukai jalan dan nombor pendaftaran palsu.
"Selain itu, pihak U3K juga telah menyita sebanyak 16 buah motosikal atas pelbagai kesalahan jalan raya termasuklah penunggang tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: