Thursday, April 11, 2013

Ella gegar Pesta Air Port Dickson 2013

ELLA


RATU Rock Negara, Ella bakal memeriahkan Pesta Air Malaysia Port Dickson 2013 yang bakal berlangsung di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, Negeri Sembilan selama tiga hari bermula esok, 12 April.
Penampilan artis-artis popular sudah semestinya yang ditunggu-tunggu sempena pesta berkenaan.
Justeru, kehadiran Ella merupakan satu daya tarikan yang hebat pada acara kali ini.
Selain Ella, barisan artis lain yang bakal membuat penampilan termasuklah Nubhan AF, Lena AF, Ayu OIAM, Ani Maiyuni dan kumpulan The Vella.
Penghibur serba boleh, Roslan Shah dan Sharifah Shahora akan bertindak selaku juruacara majlis, dibantu oleh personaliti yang semakin popular, Kiah Propa.
Pesta anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia, Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson itu dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 pengunjung.
Menurut Pengarah Kementerian Pelancongan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Daing Muhamad Rahimi Abdul Hamid, jumlah pengunjung yang besar itu mampu dicapai ekoran pengiktirafan terhadap Port Dickson sebagai Bandar Pantai Peranginan Negara.
"Pada tahun ini, Port Dickson telah dipilih sebagai lokasi pembukaan untuk Festival Air Malaysia. Ia merupakan platform untuk merancakkan promosi Tahun Melawat Malaysia yang akan dilancarkan pada tahun depan," katanya.
Tambahnya, jumlah sasaran pengunjung itu bakal dicapai berdasarkan kejayaan Pesta Air Malaysia Port Dickson 2012 dengan kehadiran lebih daripada 150,000 pengunjung.
Beliau memberitahu, pelbagai program dan aktiviti menarik seperti sukan tradisional dan moden, selain persembahan artis terkenal tanah air akan diadakan semasa pesta itu berlansung.
"Acara sukan pula ialah bola sepak pantai tadika, bola sepak pantai (terbuka), tarik tali, futsal pantai, pertandingan jet ski, cabaran pesta pancing dan banyak lagi.
"Bagi memeriahkan lagi pesta tersebut turut diadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak tadika, cabaran memasak pantai, karaoke, battle of the band, sukaneka pantai dan pertunjukan raja ular," katanya.
Ujarnya lagi, orang ramai yang berminat menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan dan gerai jualan boleh menghubungi 019-614 0275 (Joy) atau 012-284 6811 (Aley) untuk keterangan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: