Friday, April 12, 2013

Edwin lupakan 'nostalgia' lama



LEBIH tiga dekad lalu iaitu sekitar tahun 1979, ketika masih di alam persekolahan, Edwin memulakan episod baharu hidupnya dengan mencuba marijuana secara suka-suka.
Tiada paksaan dan tiada sesiapa yang mengajarnya, cuma perasaan ingin tahu jiwa remajanya meronta-ronta untuk merasai kononnya ‘kenikmatan’ yang mampu diberikan oleh marijuana.
“Tidak dinafikan pada mulanya, ia memang menyeronokkan, namun selepas empat hingga lima tahun kemudian, kesakitan akibat pengambilan marijuana bermula.
“Saya mula membenci diri sendiri kerana terpaksa bergantung dengan dadah tersebut,” katanya yang kini berusia 50 tahun.
Dia mengambil dadah tersebut bukan untuk keseronokan lagi, tetapi mahu menghilangkan kesakitan dan menjadi normal semula.
“Sekali terjebak memang sukar untuk pulih seperti sediakala. Mujur ahli keluarga terutamanya ibu banyak membantu saya untuk keluar daripada kancah najis dadah.
“Tanpa sokongan mereka, mungkin saya tidak dapat hidup dengan tenang, aman dan bahagia seperti hari ini,” ujar bapa kepada empat orang anak yang benar-benar insaf dengan keterlanjurannya itu akibat terlalu mengikut kata hati.
Menurutnya, dadah telah menjejaskan kerja dan menghancurkan kehidupannya.
Pemulihan diri
Edwin kemudiannya telah diperkenalkan dengan program Medication-Assisted Treatment (MAT) oleh Dr. P. Balaeswaran, seorang doktor di Klinik Tenaga Baru, Taman Tenaga, Cheras, Kuala Lumpur pada tahun 2002.
Dua tahun kemudian, barulah Edwin tekad meninggalkan episod gelap kehidupannya. Dia mengikuti program MAT dengan menjalani rawatan terapi penggantian dadah di sebuah klinik swasta.
Dia yang tidak pernah memasuki mana-mana pusat pemulihan dadah, pernah mencuba untuk berhenti menagih tanpa bantuan sesiapa, namun hanya bertahan selama enam bulan.

KAUNSELING amat penting dalam pengukuhan mental penagih dadah yang mahu meninggalkan dunia gelap mereka.


“Program MAT berjaya memulihkan diri saya. Sungguhpun begitu ia perlu diiringi dengan kaunseling bagi memantapkan ketahanan mental diri.
“Dos dadah gantian yang diberikan juga sudah semakin kecil. Mengikuti program MAT sahaja tidak memadai, perlu disokong dengan program kaunseling selain menerapkannya dengan elemen spiritual,” katanya yang kini bekerja sebagai vendor akhbar.
Sokongan keluarga
Ujarnya, ramai penagih menagih semula berikutan kurang atau tiadanya sokongan daripada ahli keluarga semasa rawatan.
Proses pemulihan mengambil masa dan ia tidak berlaku sekelip mata sahaja. Sokongan berterusan diperlukan bagi membantu para penagih kembali pulih.
Walaupun seseorang penagih itu sudah berhenti, pandangan serong masyarakat sekeliling masih ada. Oleh itu, penting untuk para penagih di luar sana menguatkan diri dan berfikiran positif supaya tidak kembali menagih.
“Saya sendiri pernah mengalaminya. Walaupun telah berhenti menagih, ibu pernah menanyakan keadaan diri saya yang kelihatan lain macam dan mata kelihatan merah.
“Walhal, mata saya merah kerana dimasuki habuk ketika menunggang motosikal. Kita harus bersikap positif. Pertanyaan ibu itu menunjukkan dia amat mengambil berat keadaan diri saya,” ujarnya yang kini aktif bermain muzik di gereja.
Kenangan lama
Bagi memastikan dirinya konsisten mendapatkan rawatan dan tidak mahu pisang berbuah dua kali, Edwin tidak lagi bercampur dengan rakan-rakan ‘seperjuangannya’ dahulu. Dia khuatir ‘benteng’ yang dibina teguh sekian lama runtuh sekelip mata.
Tempat-tempat yang mengembalikan nostalgia lama turut dielak untuk dikunjungi. Baginya, ia satu risiko kerana kenangan bersama rakan-rakannya dahulu sangat kuat.
“Ia umpama cinta pertama, sukar untuk dilupakan walaupun kita sudah beralih arah.
“Sebagai contoh, apabila berada dalam ketagihan, jika diminta membuat pilihan antara wanita cantik dan heroin, seseorang penagih itu akan memilih heroin,” katanya yang berhabis RM50 sehari untuk dadah suatu ketika dalu.
Dek kerana itulah, ada yang sanggup membuang keluarga dan melakukan sesuatu di luar batasan fikiran gara-gara pengaruh dadah.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Penagihan Malaysia (AMAM), Dr. Steven Chow memberitahu penagihan dadah telah dilabel sebagai kebejatan moral oleh masyarakat.
Sungguhpun begitu, dalam terma perubatan ia dilabel sebagai keadaan kesihatan yang kronik.
“Pengambilan dadah secara berterusan akan menyebabkan perubahan kepada struktur dan fungsi otak sekali gus mencetuskan ketagihan yang kuat.
“Oleh yang demikian, rawatan perubatan merupakan satu langkah penting dalam pemulihan,” katanya pada taklimat media mengenai MAT di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

DADAH hanya memberikan 'keseronokan' sementara yang menghancurkan masa depan seseorang individu yang terjebak dalam kancah najis dadah.


Kempen Jiwa Baru
Bagaimanapun, persepsi negatif yang dikaitkan dengan penagihan dadah sering menghalang penagih untuk mendapatkan rawatan.
“Kita perlu memberi tumpuan dan menyusun semula kaedah rawatan. Ia perlu digabungkan dengan kaunseling supaya pesakit tidak terasa tersisih dan menyebabkan mereka menagih semula.
“Di Malaysia, MAT menggunakan buprenorphine-naloxone menunjukkan kadar pembendungan ketagihan melebihi 80 peratus dengan pengawasan perubatan,” ujarnya.
Dalam usaha untuk mengurangkan stigma negatif masyarakat satu kempen dipanggil Jiwa Baru telah dilancarkan pada tahun 2008. Kempen itu turut mempunyai objektif membanteras pergantungan kepada dadah melalui rawatan yang tepat.
Sejajar dengan itu, Jiwa Baru menyediakan satu talian khas iaitu 1300-80-7777 bagi membantu golongan berkaitan mendapatkan rawatan di klinik-klinik berdekatan.
Pada tahun 2012, Malaysia mempunyai 707 doktor terlatih dalam merawat ketagihan dadah berbanding 300 orang pada tahun 2006.
Penggunaan buprenorphine-naloxone dalam program MAT merupakan kejayaan farmakoterapi untuk merawat penagihan dadah.
Pada dasarnya ubat tersebut dicipta untuk melegakan ketagihan dan kesan sampingan akibat penyalahgunaan dadah. Ia juga dapat mengurangkan risiko kemurungan serta kematian akibat dos yang berlebihan.
Ubat tersebut lebih selamat berbanding agonis opiod seperti heroin dan metadon pada dos yang lebih tinggi.
“Program MAT merupakan cara selamat lagi berkesan untuk mengatasi penagihan dadah.
“Di samping mendapat manfaat daripada farmakoterapi, fleksibiliti penyesuaian rawatan dan penjagaan psikososial meningkatkan kemungkinan untuk pesakit kekal dalam rawatan,” kata Pakar Perubatan Penagihan di Northern Sydney Local Health Network, Dr. Mark Hardy.
Ujarnya, menahan diri secara berterusan di bawah pengawasan perubatan bukan sahaja dapat memperbaiki kualiti hidup dengan ketara, bahkan meningkatkan kejayaan dalam integrasi semula bersama masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: