Friday, April 19, 2013

Debaran finalis Da'i


DARI kiri: Mohamad Azamudin, Nor Adibah dan Muhammad Tajdid Hadhari bakal bersaing pada peringkat akhir Da'i Pendakwah Milenia (Da'i) pada Sabtu ini.


SETELAH bersiaran selama 13 minggu, program realiti Da’i Pendakwah Milenia (Da’i) yang mencungkil bakat pendakwah muda sudah menuju episod kemuncak apabila tiga peserta terpilih untuk bersaing dalam acara akhir pada Sabtu ini.
Dengan pelbagai cabaran yang ditempuh seramai 12 peserta, akhirnya tuah berpihak kepada Mohamad Azamudin Zainal, Muhammad Tajdid Hadhari Romli dan Nor Adibah Rozain yang akan merebut gelaran juara Da’i untuk musim pertama.
Dalam satu sesi fotografi bersama Kosmo! pada minggu lalu, ketiga-tiga finalis meluahkan rasa berdebar dan bersyukur mereka kerana terus bertahan sehingga ke peringkat akhir.
Salah seorang finalis iaitu Muhammad Tajdid Hadhari menyatakan sepanjang menyertai program tersebut, pelbagai pengalaman yang diraih dalam usaha untuk bergelar seorang pendakwah.
“Untuk tugasan akhir kami bertiga telah diberi tugasan yang agak mencabar iaitu tinggal bersama keluarga angkat orang Asli di Sungai Siput, Perak selama tiga hari.
“Sepanjang berada di sana kami perlu melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, memberi tazkirah dan bimbingan agama kepada keluarga angkat masing-masing,” ujarnya tentang tugasan terakhir yang perlu dilalui peserta.
Menurut Hadhari, dia agak bernasib baik kerana mendapat keluarga angkat yang beragama Islam. Namun begitu, tugasnya sedikit sukar kerana keluarga angkatnya itu memiliki fahaman Islam yang agak cetek.
Berkenaan dengan persiapan menjelang saingan akhir pula, peserta yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu memberitahu ketika ini dia banyak membaca tentang isu-isu semasa yang berlaku agar lebih banyak maklumat yang diperoleh.
“Salah satu segmen yang perlu dilalui peserta adalah sesi tazkirah pendek selama tiga minit dan topiknya pula akan diberikan oleh pengacara program. Jadi, kami perlu memberikan hujah dan fakta yang tepat berserta dengan hadis di hadapan pihak juri.
“Jadi, saya perlu membuat persiapan yang cukup rapi dan saya perlu merujuk banyak bahan bacaan supaya tazkirah yang disampaikan nanti tidak tersilap fakta,” jelas penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Sementara itu, berlainan pula dengan pengalaman yang dilalui oleh seorang lagi peserta iaitu Azamudin apabila mendapat keluarga angkat yang bukan beragama Islam.
Mengakui tanggungjawab yang diberikan kepadanya itu sangat berat dan mencabar, dia tetap melaksanakan tugasan yang diberikan sebaik-baiknya untuk menarik minat keluarga angkatnya itu kepada Islam.
“Matlamat utama saya menyertai program ini adalah mahu menjadi seorang pendakwah yang baik. Jadi, saya tidak merasakan tekanan yang kuat apabila berhadapan dengan cabaran sebegitu.
“Antara cara yang saya lakukan ialah menceritakan keindahan serta ajaran Islam yang cukup mudah untuk diikuti. Bagaimanapun, tempoh selama tiga hari memang tidak mencukupi untuk tugasan dakwah, tetapi saya sudah lakukan yang terbaik,” ujarnya.
Mengenai persaingan dengan Hadhari dan Adibah untuk merebut gelaran juara, peserta lepasan Diploma Pendidikan Islam, Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) itu menganggap setiap peserta mempunyai kelebihan masing-masing.
“Kemenangan bukanlah menjadi keutumaan kerana apa yang lebih penting tugas sebagai pendakwah akan tetap diteruskan setelah rancangan ini berakhir dan berharap mempunyai sebuah program dakwah sendiri yang disiarkan di televisyen,” ujarnya.
Peserta wanita
Bagi satu-satunya peserta wanita yang layak ke peringkat akhir, Adibah menyatakan dia tidak berasa rendah diri untuk bersaing dengan peserta lelaki.
Menurut Adibah, dia berasa bangga apabila dapat menyertai program tersebut dan berharap agar lebih ramai golongan wanita yang akan menjadi pendakwah pada masa akan datang.
“Saya mempunyai pendapat yang sama bahawa kemenangan bukanlah matlamat utama. Kalau boleh saya ingin membuktikan bahawa wanita juga mampu menjadi seorang pendakwah yang baik.
“Selepas ini saya akan kembali menyambung pelajaran di universiti dan saya mahu fokus untuk berdakwah kepada golongan mahasiswa pula,” ujarnya yang kini sedang menuntut di UiTM Shah Alam dalam jurusan Sarjana Muda Pendidikan TESL.
Peserta yang bakal menyandang gelaran juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000. Saingan akhir akan disiarkan secara langsung pada Sabtu ini di TV3 pada pukul 5.30 petang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: